Perak Hari Ini

Penyediaan Struktur Asas Bajet 2012 Ambil Masa Tiga Bulan – Ahmad Husni

Tempoh penyediaan struktur asas kepada Bajet 2012 yang bermula bulan ini akan mengambil masa selama tiga bulan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata sebagai permulaan penyediaan kepada asas itu akan melibatkan perbincangan bersama 300 pihak yang terdiri daripada pelabur, ahli perniagaan dan wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kita mahu semua pihak terlibat dalam penyediaan bajet ini kerana ia akan mengunjur sehingga ke tahun 2020. Walaupun ia bajet untuk tahun 2012 tetapi unjurannya adalah sehingga kita mencapai sasaran negara maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mengimarahkan Perpustakaan Desa Peringkat Parlimen Tambun di Taman Meru di sini Ahad.

Beliau berkata seperti tahun sebelum ini, kerajaan menggalakkan penyertaan pihak swasta kerana sektor itu mampu membantu menjana perkembangan ekonomi negara bagi mencapai sasaran penduduk berpendapatan tinggi.

Katanya penyediaan Bajet 2012 adalah ke arah mewujudkan satu ekosistem ekonomi bagi mencapai tahap negara maju pada tahun 2020.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambung itu berkata kumpulan pertama akan berjumpa pada 10 Mei ini, diikuti perjumpaan ‘Focus Group’ dan yang terakhir adalah ‘High Powered Meeting’ yang diwakili ahli pemikir seperti profesor dan sebagainya.

“Penyediaan bajet kita bukanlah mensasarkan perkembangan pada satu tahun sahaja sebaliknya berturutan bagi membolehkannya berkembang setiap tahun,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");