Berita Hari Ini

Ramai Simpati Dengan Cabaran Yang Dihadapi Oleh Wan Azizah

Oleh Noor Farhana Ahmad Norain

Pelbagai laporan buruk mengenai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan rasa simpati ramai pihak kepada isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas ketua wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Aminah Abdullah berkata Wan Azizah sebenarnya tidak perlu terus bertahan dan menghadapi tekanan disebabkan masalah yang melibatkan suaminya, sebaliknya beliau perlu mempertahankan maruah dirinya terlebih dahulu.

“Sepatutnya, jika benda itu (tuduhan liwat dan video seks) betul, dia tak perlu bertahan. Suami boleh dicari, tapi maruah kita sebagai seorang wanita lebih perlu dijaga.

“Saya amat kasihan dan sedih dengan apa yang berlaku pada diri dia (Wan Azizah). Tapi hanya dia yang tahu segala-galanya. Dia sendiri yang patut bela diri. Ini kerana ramai yang menganggapnya sebagai boneka kepada Anwar,” katanya kepada Bernama.

Aminah berkata antara alasan Presiden PKR itu bertahan adalah bagi menjaga maruah diri dan keluarga serta melindungi kepentingan politik sesetengah pihak.

Jelasnya, Wan Azizah sebenarnya merupakan ‘petunjuk’ kepada pihak-pihak tertentu selama mana mereka perlu terus menyokong Ketua Umum PKR itu.

“Orang dalam PKR tahu, orang dalam Pas pun tahu (kebenaran di sebalik tuduhan liwat dan video seks). Tapi mereka tak boleh cakap apa-apa kerana takut Pakatan akan hancur. Wan Azizah bertahan, mereka bertahan. Sebab Pakatan, mereka terpaksa akur.

“Sebenarnya ramai orang kesian dengan dia (Wan Azizah) tapi ada juga yang tanya kenapa dia nak pertahan sangat (Anwar),” katanya.

Wan Azizah, 58, dilihat sentiasa berada di sisi Anwar walaupun suaminya menghadapi pelbagai tuduhan, termasuk tuduhan meliwat, yang terbaru bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan pendedahan video seks yang dikatakan mirip suaminya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Dr Lo’Lo Mohd Ghazali pula menganggap Wan Azizah dikurniakan ketabahan yang tinggi dalam menghadapi pancaroba kehidupan yang disebabkan oleh Anwar.

“Sebagai seorang wanita mukmin, Wan Azizah sangat tawaduk dan selalu bertawakal kepada Allah. Beliau sentiasa berzikir. Malah, rantai tangan putih yang selalu dipakainya adalah digunakan untuk berzikir,” kata Anggota Parlimen Titiwangsa itu kepada Bernama.

Meskipun menghadapi pelbagai tohmahan kerana kekal menyokong Anwar, Dr Lo’Lo’ berkata Wan Azizah dikurniakan ketenangan luar biasa hasil amalan solat tahajud pada malam hari.

Bagi Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berpendapat tidak timbul soal Wan Azizah menghadapi tekanan kerana masalah yang dihadapi Anwar kerana beliau yang memilih untuk berbuat demikian.

“Wan Azizah sepatutnya bersimpati terhadap dirinya sendiri kerana memilih untuk melakukan apa yang beliau buat sekarang ini” katanya Timbalan Menteri Kesihatan itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");