Perak Hari Ini

Rosmah lancar Pesta Perak di Menara Kuala Lumpur

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor diberi penghormatan melancarkan Pesta Perak di Menara Kuala Lumpur, malam tadi.

Pesta yang berlangsung dari 20 April hingga 08 Mei 2011 antara lain bertujuan mempromosikan keunikan warisan alam di negeri Perak kepada pelancong tempatan dan luar negeri.

“Saya amat gembira kerana diberi peluang hadir dan merasmikan Pesta Negeri Perak ini, walaupun saya bukan berasal dari negeri Perak tetapi saya tahu tentang negeri Perak”, kata Rosmah ketika berucap melancarkan pesta berkenaan serta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di atas usaha yang dilaksanakan itu.

Hadir sama, Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan isteri serta dif-dif kehormat lain.

Katanya, penganjuran pesta itu dapat menarik kehadiran ramai pengunjung untuk mengetahui lebih dekat mengenai produk pelancongan di Perak.

Sementara itu, Hamidah berkata, salah satu warisan yang menjadi kebanggan Perak ialah Royal Belum yang terletak di kawasan utara negeri itu.

“Ia merupakan hutan yang tertua di dunia berusia lebih 1.3 juta tahun. Hutan ini telah diwartakan oleh kerajaan negeri Perak sebagai Taman Negeri yang mempunyai keluasan 118,000 hektar menyamai keluasan Singapura.

“Selain itu, arkeologi di Lenggong juga merupakan warisan peninggalan sejarah purba berusia 100,000 tahun. Gua Tempurung juga tidak kurang hebatnya yang kaya dengan pelbagai bentuk batu kapur semulajadi,” katanya.

Keindahan Pulau Pangkor juga kata Hamidah tidak dapat dinafikan lagi kerana pernah mendapat pengiktirafan daripada sebuah majalah antarabangsa sebagai pulau kedua terindah selepas Hawaii.

Ipoh pula katanya, terkenal dengan catatan sejarah tersendiri terutama peninggalan sejarah industri bijih timah.

Tambahnya, Hutan paya bakau di Kuala Sepetang merupakan hutan paya bakau yang mempunyai 12,000 hektar yang telah mendapat pengiktirafan sebagai ‘The Best Managed Forest In The World’.

“Satu lagi produk pelancongan yang perlu didedahkan ialah warisan alam di Kampung Dew di mana pengunjung dapat menyaksikan ribuan kelip-kelip yang menghiasi sepanjang sungai. Difahamkan Malaysian Nature Society mengesahkan di sinilah kawasan yang menjadi persinggahan terbanyak kelip-kelip di Malaysia,” katanya.

Kata Hamidah, rakyat Malaysia dijemput menghadiri pesta ini kerana masuk adalah percuma dan julung-julung kali diadakan Menara Kuala Lumpur bagi mengetahui lebih lanjut mengenai warisan negeri Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");