Perak Hari Ini

Cer Citer drama bersiri arahan terbaru Mamat Khalid

Selepas 15 tahun meninggalkan dunia pengarahan drama, Mamat Khalid kini kembali menggegarkan industri hiburan tempatan dengan mengarah drama komedi seram, Cer Citer yang menggunakan beberapa lokasi berlatarkan negeri Perak.

Drama 13 episod untuk siaran ASTRO Warna itu dijangka bersiaran Ogos depan dan turut membariskan pelakon terkenal seperti Rashidi Ishak, Jue Aziz, Pekin dan pastinya Usop Wilcha atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri yang mencipta nama dalam filem arahan Mamat, Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Pada majlis pratonton drama Cer Citer kepada wakil media di Ipoh petang tadi, Mamat menegaskan, sejak kebelakangan ini, semakin banyak penggambaran filem dan drama dilakukan di negeri Perak kerana ia memiliki alam semulajadi segar dan budaya yang unik.

Katanya, dengan sokongan kerajaan negeri dan ditambah lagi kemudahan infrastruktur yang moden, isu penggambaran di luar Kuala Lumpur dan Selangor tidak lagi menjadi masalah buat pengarah filem atau drama.

“Cer Citer merupakan drama bersiri berkonsepkan komedi seram yang dipantau Kementerian Penerangan dan ia elok dilihat dari sudut hiburan tinggi dan santai selain tidak mempermainkan akidah umat Islam.

“Untuk menghasilkan drama ini, saya memilih beberapa lokasi di Perak termasuklah di Simpang Pulai dan Pangkor,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mamat berkata, ASTRO juga akan mempromosikan negeri Perak melalui gagasan Perak Amanjaya sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Aminuddin Hashim yang turut hadir pada majlis itu berkata, Mamat adalah antara contoh individu berkualiti yang berjaya melahirkan ramai pelakon berbakat.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sendiri turut menyarankan agar industri perfileman tempat di beri tempat dan sokongan sewajarnya.

“Kerajaan negeri akan membantu dalam usaha membangunkan industri perfileman yang membawa mesej penting dan boleh membuka minda rakyat ke tahap lebih tinggi.

“Selain itu, Mamat bukan sahaja menjadi idola di Perak tetapi juga turut mempromosikan negeri ini melalui filem dan drama yang diarahkannya selama ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");