Perak Hari Ini

Felcra peruntuk RM21 juta biaya PBR di seluruh negara: Tajuddin

Sebanyak RM21 juta diperuntukkan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara.

Program itu membabitkan 372 unit rumah baru dan 248 unit rumah jenis dibaikpulih.

Pengerusi Felcra yang juga merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata program itu selaras dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah untuk menaiktaraf sosio-ekonomi rakyat luar bandar.

Ia juga katanya, dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat miskin dan miskin tegar dengan segera agar bebas daripada belenggu kemiskinan.

“Program ini merupakan usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat dalam bentuk membina rumah baru atau membaikpulih rumah rakyat yang miskin dan miskin tegar,” katanya.

Felcra juga katanya, telah diberi tanggungjawab sebagai jentera pelaksana untuk program tersebut oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang membabitkan beberapa buah negeri termasuklah Perak, Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Tajuddin turut menjelaskan, Felcra akan terus merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan setiap rakyat memiliki rumah sendiri menjelang tahun 2020.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat tawaran kepada penerima Program Bantuan Rumah (PBR) di Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.

Sementara itu, penerima bantuan yang ditemui juga memberi reaksi positif terhadap program itu dan turut melahirkan penghargaan terhadap kerajaan di atas inisiatif yang diperkenalkan oleh Felcra.

Naziatun Hussain, berkata rumah lama yang didudukinya selama ini sudah reput dan beliau tidak menjangka akan mendapat bantuan membina rumah baru daripada kerajaan.

Kegembiraan dikongsi sama S Krishnama yang bakal mendapat rumah baru di bawah PBR dan dan beliau turut merakamkan rasa penghargaan di atas bantuan yang dihulurkan kepada rakyat yang miskin dan miskin tegar di Perak.

Umi Kalthom Alang Jaman turut melahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana terpilih menerima bantuan rumah daripada Felcra.

“Saya bersyukur kepada Allah dan ingin melahirkan penghargaan dan terima kasih di atas pemberian bantuan yang dihulurkan oleh Felcra.

“Keadaan rumah lama terutamanya lantai sudah rosak teruk tetapi Alhamdulillah saya menerima bantuan atap daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA),” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");