Perak Hari Ini

Isu setinggan Meru Tin: Penduduk perlu tanggung kos tambahan

Kerajaan negeri tidak seharusnya dipersalahkan apabila masalah setinggan yang membabitkan 183 keluarga di Meru Tin, dekat Jelapang Tambahan masih gagal diselesaikan berikutan keengganan mereka membayar kos tambahan sebanyak 30 peratus kepada kontraktor yang membangunkan kawasan itu sebagai rancangan penempatan tersusun (RPT).

Pada Januari tahun lalu, setiap keluarga dikehendaki menjelaskan bayaran RM12,300 kepada kontraktor, Saka Bumi Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan itu dengan projek perumahan tersusun in-situ tetapi sehingga ke hari ini, mereka masih enggan berpindah keluar hingga menjejaskan kerja pembersihan dan meratakan kawasan.

Tindakan penduduk yang enggan berpindah itu menyebabkan pemaju menanggung kos tambahan sebanyak 30 peratus sejak setahun lalu, iaitu kira-kira RM4,000 bagi setiap lot.

Exco Kanan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata apabila penduduk diminta menjelaskan kos tambahan itu, mereka menuding jari dan cuba menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak mengotakan janji sebelum ini sebaliknya mereka sendiri yang enggan berpindah mengikut masa yang ditetapkan pihak kontraktor.

“Baru-baru ini, wakil penduduk berjumpa saya dan memaklumkan penduduk tidak akan membayar kos tambahan itu kepada kontraktor dan terus menyalahkan kerajaan negeri kerana isu setinggan di situ masih tidak selesai walaupun hampir setahun berlalu.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan amat memerlukan kerjasama daripada penduduk kerana kos awal yang dahulunya hanya RM12,300 kini sudah meningkat kepada lebih RM16,000 setiap lot yang mana bayaran perlu dijelaskan jika mahu isu ini selesai dengan segera,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Ujarnya, masalah itu sepatutnya sudah dapat diselesaikan tetapi ada pihak tertentu cuba menghasut penduduk di situ supaya melengah-lengahkan urusan perpindahan keluar demi kepentingan politik.

“Ada pihak tertentu yang menjadi dalang menghasut penduduk agar tidak berpindah keluar dan menandatangani perjanjian dengan kontraktor dengan menabur janji mereka akan mendapat lot itu secara percuma jika kerajaan bertukar tangan pada pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Hamidah yang juga Adun Sungai Rapat, berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

Nilai kos tambahan yang mencecah RM800,000 itu katanya, sepatutnya ditanggung oleh penduduk sendiri dan bukannya dilunaskan oleh kerajaan negeri.

“Dengan wang itu, kita boleh menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat termasuk memberi bantuan kepada golongan miskin dan menambahbaik kemudahan infrastruktur sedia ada.

“Selain itu, adalah tidak adil kepada rakyat Perak yang lain apabila kerajaan negeri menanggung kos tambahan itu semata-mata bagi menyelesaikan masalah setinggan di Meru Tin,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");