Perak Hari Ini

Jangan gadai masa depan untuk berpolitik

Golongan pelajar yang melanjutkan pelajaran di menara gading dinasihatkan supaya tidak menggadaikan masa depan untuk berpolitik kerana ia akan hanya merugikan diri mereka sendiri.

Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman, berkata pelajar perlu mengetahui matlamat mereka dalam kehidupan serta menggunakan sepenuhnya peluang melanjutkan pelajaran di menara gading dengan belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya.

“Pelajar hari ini cukup bertuah kerana menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan termasuk skim pinjaman buku teks percuma dan dermasiswa bagi anak Perak yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

“Tahun ini sahaja, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak menyediakan peruntukan RM8 juta untuk program dermasiswa berbanding hanya RM5 juta tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Dermasiswa Yayasan Perak kepada 112 pelajar dari kawasan Ipoh Timur, Ipoh Barat, DUN Sungai Rapat dan Simpang Pulai.

Sejumlah RM82,000 diperuntukkan oleh Yayasan Perak bagi tujuan itu di mana pelajar yang mengikuti kursus peringkat sijil menerima bantuan RM300, RM500 (diploma), RM1,000 (ijazah) dan RM1,200 (ijazah sarjana).

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah yang juga Exco Kanan negeri turut mengingatkan pelajar agar bersyukur dengan nikmat yang dikecapi mereka dan tidak mudah berpedaya dengan hasutan pembangkang yang menggunakan pelbagai isu termasuk kenaikan harga barang bagi menarik sokongan rakyat.

Jelasnya, kerajaan boleh mengawal harga barang tetapi bukan secara menyeluruh kerana ia bergantung kepada pasaran dunia.

Kerajaan katanya, sebaliknya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menampung kos subsidi makanan yang bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia tetapi juga warga asing yang menetap atau bekerja di negara ini.

“Kerajaan perlu membelanjakan RM20.58 bilion untuk menampung kos subsidi makanan untuk tahun ini berbanding hanya sekitar RM8 hingga RM10 bilion tahun lalu.

“Sebagai contoh, 1 kg gula dijual pada harga RM2.30 sedangkan harga sebenarnya adalah RM2.70 iaitu 40 sen lagi diberi bantuan subsidi oleh kerajaan.

“Janganlah mudah terpengaruh dengan hasutan dan dakyah pembangkang sebaliknya rakyat perlu berfikiran waras dan matang dalam menilai isu kenaikan harga barang dewasa ini,” ujarnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");