Perak Hari Ini

Laluan motosikal akan dibina rentasi Sungai Dal dekat Padang Rengas

Laluan motosikal dengan kos RM20,000 akan dibina untuk menyeberangi Sungai Dal bagi memudahkan penduduk dan pemilik tanah berulang-alik ke kebun getah dan dusun mereka yang terletak di seberang sungai itu.

Penghulu Kampung Sungai Buaya, Mukim Padang Rengas, Zaini Abdul Aziz, ketika dihubungi Peraktoday.com, berkata pembinaan laluan konkrit itu akan menggunakan peruntukan yang diterima daripada Ahli Parlimen Padang Rengas.

“Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah bulan lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan RM20,000 bagi membina laluan motosikal untuk merentasi Sungai Dal.

“Walaupun ada penduduk memohon supaya laluan kereta dibina, kos yang diperlukan iaitu RM70,000 dilihat agak tinggi yang mana wang itu boleh diagih-agihkan kepada kampung lain di kawasan ini untuk manfaat lebih ramai rakyat,” katanya.

Zaini berkata, apabila peruntukan sudah diluluskan, projek itu akan dirujuk kepada Pejabat Daerah untuk sebut harga dan tender yang memakan masa sekitar tiga bulan sebelum kerja pembinaan boleh dijalankan oleh kontraktor dilantik.

Pada 23 Mei lalu, Peraktoday.com melaporkan mengenai harapan penduduk dari Kampung Sungai Dal, dekat Padang Rengas yang tidak kesampaian untuk menggunakan jambatan yang kukuh dan selamat bagi menyeberangi Sungai Dal walaupun sabar menanti sejak lebih enam tahun lalu.

Salah seorang daripadanya ialah pasangan suami isteri, Sarimah Yahaya, 40, dan suaminya, Abdul Halim Mohd Noor, 43, serta lima anak mereka yang terpaksa menyeberangi sungai itu dengan meredah air untuk menjalankan urusan seharian kerana jambatan kayu yang dibina sebelum ini sudah runtuh dan putus akibat dihanyutkan arus deras.

“Setiap kali hujan lebat, kami sekeluarga akan pergi ke rumah ibu mertua yang terletak tidak jauh dari sini kerana bimbang dengan keselamatan anak-anak jika paras air Sungai Dal naik secara mendadak.

“Jadi sebelum paras air naik lebih tinggi, saya akan membawa isteri dan anak-anak menyeberangi sungai ke tempat lebih selamat dan itulah yang terpaksa kami lalui sejak lebih enam tahun lalu jika hujan lebat,” kata Abdul Halim.

Sarimah pula mendakwa permohonan untuk membina jambatan bagi menyeberangi Sungai Dal sudah dikemukakan sejak enam tahun lalu tetapi sehingga hari ini masih belum tiada kata putus diberi oleh pihak kerajaan.

Tegasnya, sebelum membina rumah, beliau dimaklumkan bekas pemimpin kampung bahawa sebuah jambatan akan dibina bagi memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

Walaupun ada pihak mendakwa kemudahan itu hanya akan menguntungkan keluarganya, Sarimah menafikan perkara itu kerana ia turut memberi manfaat kepada lebih 10 tuan tanah yang memiliki tanah yang terletak berdekatan rumahnya.

Katanya, selama ini, penduduk dusun terpaksa memikul hasil buah-buahan sebelum menyeberangi sungai itu kerana tiada kemudahan jambatan yang sempurna.

“Saya percaya jika jambatan yang kukuh dibina, penduduk kampung dan pemilik tanah turut mendapat manfaat jangka panjang kerana mereka dapat memasarkan hasil pertanian dan dusun dengan lebih cepat, mudah dan selamat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");