Perak Hari Ini

LLM diminta segerakan pembinaan tiga susur keluar di laluan PLUS

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diminta agar menyegerakan pembinaan tiga susur keluar yang terletak di laluan Lebuhraya Utara-Selatan bagi membantu kerajaan negeri merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata, pembinaan susur keluar di Meru Raya, Alor Pongsu dan Gua Tempurung dijangka mampu merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi di sekitar kawasan itu kini yang kian pesat membangun.

Tegasnya, ketika ini lembaga itu sedang menjalankan kajian kesesuaian tanah untuk membina susur keluar Alor Pongsu dan kerajaan negeri berharap projek itu dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

“Selain Alor Pongsu, kerajaan negeri juga telah menyatakan pandangan agar LLM membina dua lagi susur keluar iaitu di Meru Raya dan Gua Tempurung kerana kedua-dua kawasan ini semakin pesat membangun.

“Sebagai contoh, dengan adanya susur keluar Gua Tempurung ini, ia memudahkan pengguna untuk ke pekan Kampar yang kini turut menikmati pembangunan pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, LLM juga telah membentangkan cadangan membina Lebuhraya Pantai Barat yang bermula dari Banting, Selangor ke Changkat Jering, dekat Taiping.

Projek dengan kos RM6 bilion itu juga katanya, akan membabitkan kawasan pesisir pantai barat negeri Perak iaitu dari Bagan Datoh hingga ke Changkat Jering.

“Hari ini kita mendengar taklimat mengenai cadangan membina Lebuhraya Pantai Barat dan tidak ketinggalan memberi input serta cadangan berkaitan perkara ini.

“Pada dasarnya, kerajaan negeri ingin melihat pembangunan lebuhraya itu nanti akan membabitkan laluan di sepanjang pesisir pantai barat Perak bermula dari Bagan Datoh hingga ke Changkat Jering.

“LLM sudah mendengar maklumbalas daripada kita walaupun pada asalnya mereka memberi cadangan untuk membangunkan laluan dalam negeri Perak dan bukan di sepanjang pesisir pantai,” ujar Dr Zambry lagi.

Menurutnya, pembinaan lebuhraya di sepanjang pesisir pantai negeri juga dapat memastikan ia bergerak selari dengan pembangunan yang dirancang kerajaan Perak.

Dengan wujudnya lebuhraya baru itu nanti, ia dapat membantu merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi dari kawasan Bagan Datoh, Manjung dan Changkat Jering, katanya lagi.

Sementara itu, LLM turut disaran bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar membina lebih banyak pencawang di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membabitkan negeri Perak.

Kata Dr Zambry, ini perlu memandangkan kerajaan negeri menerima banyak rungutan daripada pengguna bahawa perkhidmatan telekomunikasi yang digunakan sering putus-putus dan terganggu berikutan bilangan pencawang yang agak terhad.

“Kita sudah memaklumkan perkara ini kepada LLM dan adalah diharapkan agar mereka dapat bekerjasama dengan SKMM bagi mengatasi gangguan perkhidmatan di sepanjang laluan itu dengan secepat mungkin,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");