Perak Hari Ini

Penduduk bimbang banjir berulang di Jalan Perah

Beberapa keluarga yang tinggal di Jalan Perah, dekat Kampung Sungai Rokam, terus melahirkan rasa bimbang rumah mereka akan dinaiki air setiap kali hujan lebat meskipun benteng penghalang banjir siap dibina baru-baru ini.

Selain kedudukan rumah yang terletak di kawasan rendah, sikap tidak bertanggungjawab penduduk yang membuang sampah ke dalam longkang turut menyumbang kepada masalah itu hingga menjejaskan kehidupan Rafidah Mohd Husaini, 35, dan lima anaknya.

Bercakap kepada Peraktoday.com, penjual kuih ini berkata, pada awal pagi Februari lalu, rumah pusaka yang didiami bersama ahli keluarganya tiba-tiba dinaiki air hingga ke paras pinggang kerana air dari longkang besar yang terletak di tepi rumah melimpah disebabkan hujan lebat.

Katanya, akibat kejadian itu, bilik air dan tandas mengalami kerosakan dan masih belum dibaiki sehingga ke hari ini dan kadang kala mereka terpaksa menumpang di rumah jiran untuk menggunakan kemudahan itu.

“Saya tidak mempunyai pilihan lain kecuali tinggal di rumah pusaka ini memandangkan pendapatan saya dan suami tidak seberapa untuk membina rumah baru serta menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Masalah banjir ini cukup membimbangkan kami sekeluarga kerana selain mengalami kerosakan harta-benda, keselamatan juga boleh terancam memandangkan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Beliau berkata, sebuah benteng penghalang banjir dibina oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di tepi longkang besar, bersebelahan Sungai Pinji bagi mengelak air melimpah dan membanjiri rumah kawasan rendah.

Benteng yang berukuran kira-kira 100 meter panjang dengan ketinggian 1.5 meter itu katanya, baru siap dibina seminggu lalu.

“Jika berlaku banjir, benteng ini akan menghalang air dari mengalir terus keluar ke longkang besar dan ia dikhuatiri mungkin menyebabkan masalah banjir di sini bertambah buruk,” katanya lagi.

Sementara itu, jirannya yang enggan dikenali berkata, beliau turut bersimpati dengan nasib Rafidah sekeluarga dan turut menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Beliau juga katanya, pernah mengalami nasib sama apabila air dari longkang yang terletak di belakang rumahnya melimpah dan menyebabkan beberapa barangan elektrik dalam rumah rosak kerana dibasahi air.

Masalah yang dihadapi Rafidah itu mendapat perhatian Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman yang menyampaikan bantuan bencana alam kepada mangsa banjir yang menggunakan peruntukan Pejabat Daerah.

Beliau turut meninjau persekitaran kawasan itu dan mencadangkan agar pintu mengawal air dibina bagi memastikan air longkang tidak melimpah masuk.

“Perbuatan membuang sampah ke dalam parit atau longkang adalah satu budaya yang tidak sihat dan apabila berlaku banjir, sampah-sarap ini akan menghalang perjalanan air.

“Oleh itu, saya mahu penduduk terutamanya di Pekan Razaki dan Sungai Rokam memberi kerjasama untuk memastikan longkang sentiasa bersih daripada sampah-sarap,” katanya lagi.

Beliau juga katanya, bercadang untuk menganjurkan kempen kesedaran kepada penduduk agar menjaga kebersihan sungai dan longkang bagi mengelak pencemaran di masa depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");