Perak Hari Ini

PPN Perak bakal bina kilang sawit di Bruas

Sebuah kilang memproses kelapa sawit akan dibina di Kampung Tengah, dekat Bruas yang dimiliki sepenuhnya oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak.

Pengerusi Jemaah Pengarahnya, Datuk Nadzri Ismail, berkata pembinaan kilang yang menelan kos RM45 juta itu dijangka memberi pulangan yang lumayan kepada ahli pertubuhan apabila ia beroperasi kelak.

Katanya, ketika ini pertubuhan itu memiliki ladang kelapa sawit seluas 3,200 hektar yang diagihkan kepada 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk dibangunkan sejak 1996 lagi.

Beliau juga berkata, pembinaan kilang itu juga berupaya mewujudkan industri hiliran yang berasaskan minyak kelapa sawit, sekaligus memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk menambah pendapatan.

“Tapak pembinaan kilang sudah pun dikenalpasti di Kampung Tengah, dekat Bruas dan kita amat berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memiliki ladang kelapa sawit di Perak dapat menghantar hasil mereka ke kilang ini untuk diproses.

“Dengan tambahan 600 hektar tanah lagi yang bakal diluluskan oleh kerajaan negeri untuk PPN Perak, saya yakin pembinaan kilang ini dapat menjana pendapatan yang lebih lumayan kepada pertubuhan dan ahlinya yang kini mencecah 90,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen kepada Peserta Ladang Rakyat dan Ladang-Ladang yang Diuruskan oleh PPN Perak yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadzri berkata, selain menguruskan ladang kelapa sawit, pertubuhan itu turut menyediakan perkhidmatan lain termasuk sewaan jentera pertanian bagi menjana pendapatan sedia ada.

Tegasnya lagi, PPN juga berharap kerajaan negeri dapat segera meluluskan tambahan 600 hektar untuk 15 lagi PPK yang masih belum memiliki tanah sendiri untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

“Kita amat berharap permohonan ini dapat diluluskan pada tahun ini juga dan kawasannya sudah dikenalpasti iaitu di Bidor untuk diagihkan kepada 15 PPK yang belum memiliki tanah antaranya PPK Sungai Siput, PPK Sungai Tinggi, PPK Bukit Gantang, PPK Kinta Selatan dan PPK Hulu Kinta,” katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Nadzri berkata, untung bersih PPN Perak meningkat kepada RM9.5 juta pada tahun lalu, berbanding hanya RM8.5 juta tahun sebelumnya.

Pada majlis itu, sejumlah RM19.8 juta juga diagihkan kepada 924 peserta sebagai bayaran dividen untuk tahun ini yang mana ia menunjukkan peningkatan berikutan harga komoditi kelapa sawit yang kini mencecah RM720 bagi setiap tan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");