Perak Hari Ini

RM4 juta biaya program Bantuan Ikhlas Bina Upaya (BIBU)

Bantuan Ikhlas Bina Upaya (BIBU) merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) untuk menyalurkan bantuan makanan secara bersepadu kepada golongan keterbawahan selaras dengan hasrat membasmi kemiskinan tegar di Perak.

Ketua Unit Khidmat Pengurusan Komuniti, Isfarina Mohd Bali berkata, sebagai organisasi yang dipertanggungjawabkan, program BIBU ini telah pun digerakkan bermula April lalu dan dijadualkan urusan pengagihan bagi tahun ini akan selesai pada bulan Disember.

“Ia melibatkan peruntukan bernilai RM4 juta bagi keperluan seramai 45,000 penerima mencakupi kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Melalui program ini, kita juga dapat mewujudkan sikap peduli kepada nasib golongan keterbawahan, di samping menghidupkan suasana bantu-membantu dalam masyarakat agar tersemat kesedaran kesyukuran dengan nikmat dikecapi sepanjang hayat.

“Di samping, ia turut memberi peluang kepada wakil rakyat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat secara langsung dalam membantu rakyat di setiap DUN seluruh Perak,” katanya.

Jelas beliau, golongan yang layak menerima bantuan ini adalah keluarga yang mempunyai anggota isi rumah lima orang ke atas dengan pendapatan bulanan RM750 ke bawah dan golongan warga emas dengan anggota isi rumah yang sama.

Senarai penerima yang layak ini dikenalpasti menerusi agensi-agensi seperti Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) melalui senarai E-kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Baitulmal.

Sungguhpun begitu, katanya nama yang diperolehi dari jabatan itu, akan disenarai pendek mengikut DUN sebelum dihantar untuk pengesahan ADUN atau penyelaras DUN.

“Pada peringkat ADUN dan penyelaras, mereka akan memastikan nama yang disenaraikan itu benar-benar layak, dan jika ada tambahan akan dikemaskini serta disahkan oleh ADUN dan penyelaras sebelum dihantar kepada YBUDR untuk proses pengagihan bantuan.

“Secara dasarnya 80 penerima dipilih setiap DUN akan diberi barangan bantuan makanan merangkumi beras, minyak, gula, tepung, bihun, teh dan sardin yang akan disalurkan kepada ADUN dan penyelaras DUN melalui majlis dianjurkan ataupun lawatan dari rumah ke rumah.

“Bagaimanapun jika terdapat pertambahan penerima, pihak DUN akan memaklumkan kepada YBUDR untuk diberikan sekiranya perlu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");