Perak Hari Ini

Lapan mangsa bencana alam terima bantuan

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana bakal mempunyai rumah baru bagi menggantikan rumah lama yang rosak teruk dipukul ribut,” demikian kata warga emas, Robine Don, dari Kampung Sungai Rapat yang menerima bantuan rumah daripada kerajaan Perak.

Beliau difahamkan, ketika ini proses pelantikan kontraktor untuk membina rumah baru sedang dibuat dan amat berharap agar dapat menduduki rumah terbabit dengan kadar segera.

“Saya bersyukur di atas bantuan bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan buat sementara ini, saya tinggal menumpang di rumah sanak saudara,” katanya.

Selain Robine, ibu lima anak, Rafidah Mohd Husaini, 35, turut menerima bantuan RM200 daripada kerajaan negeri kerana rumahnya dinaiki air pada Februari lalu.

Menurutnya, apabila hujan lebat, air longkang akan melimpah masuk ke kawasan rumahnya dan naik hampir ke paras pinggang.

“Saya turut memohon bantuan untuk membina bilik air dan tandas kepada Baitulmal tetapi sehingga hari ini tiada jawapan positif diberi.

“Dengan pendapatan menjual kuih dan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah, saya dan suami tidak mampu untuk membina bilik air dan tandas baru yang rosak akibat kejadian banjir kira-kira empat bulan lalu,” kata Rafidah lagi.

Kedua-dua mereka ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan bencana alam yang disampaikan oleh Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman, di Pekan Razaki, pagi ini.

Sementara itu, lebih 50 kes berhubung isu kebajikan rakyat kata Hamidah mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya daripada Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Gopeng.

Beliau berkata, ahli skuad ini akan meninjau, membuat tindakan susulan dan menyampaikan bantuan yang diperlukan kepada golongan sasaran.

Jelasnya lagi, setakat ini, Parlimen Gopeng mempunyai 12 Skuad Sayang yang mewakili setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Di bawah setiap skuad ini pula, terdapat 10 ahli yang akan turun padang meninjau masalah setempat dan kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan untuk tindakan susulan.

“Selain itu, skuad ini juga turut menghulurkan bantuan yang diperlukan jika berlaku kejadian bencana alam seperti ribut dan banjir.

“Saya juga meminta agar ahli skuad ini memberi maklumat kepada rakyat berhubung bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada mangsa bencana alam serta yang diperuntukkan oleh Mayang bagi pesakit kronik,” katanya.

Pada majlis itu, lapan mangsa dari sekitar DUN Sungai Rapat menerima bantuan daripada Tabung Bencana Alam negeri bernilai RM2,750 yang disampaikan oleh Hamidah.

Majlis itu adalah sebahagian daripada program turun padang yang dilaksanakan oleh wakil rakyat itu bagi mendekati dan menyelami masalah rakyat di peringkat akar umbi selain menyampaikan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri.

Beliau katanya, akan meluangkan masa pada setiap pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk mendekati permasalahan rakyat di kawasan yang diwakili bersama-sama dengan barisan kepimpinan setempat.

Mengulas lanjut, Hamidah yang juga Ketua Penerangan Wanita, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya menjaga kebajikan rakyat negara ini dengan menyediakan pelbagai bantuan yang diperlukan oleh golongan yang kurang bernasib baik.

“Sudah lama kerajaan BN membuat kebajikan kepada rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk untuk mangsa bencana alam serta pesakit kronik di bawah peruntukan program Mayang,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");