Sukan Hari Ini
Like

Harimau Malaya Perlu Guna 90 Minit Dengan Sebaiknya, Kata Muhyiddin

July 28, 2011
182 Views
0 Comments
1 minute read
Harimau Malaya Perlu Guna 90 Minit Dengan Sebaiknya, Kata Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, bermain dengan sebaik-baiknya pada perlawanan timbal-balik Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di sini Khamis.

Sambil mengucapkan “Selamat Berjuang”, Muhyiddin dalam satu kenyataan Rabu berkata: “Kerajaan dan semua rakyat Malaysia sentiasa bersama Harimau Malaya. Tiada yang mustahil sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh dan yakin dengan kemampuan sendiri.”

Perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 antara Malaysia menentang Singapura akan berlangsung pada pukul 8.45 malam esok di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Muhyiddin yakin skuad bimbingan Datuk K Rajagobal telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan berkenaan.

“Saya percaya latihan yang dijalani serta bimbingan yang diberikan oleh para jurulatih yang diketuai Datuk K Rajagobal telah menyiapsediakan pasukan Harimau Malaya untuk menangkis serangan lawan serta merempuh benteng pertahanan mereka dalam menjaringkan gol sebanyak mungkin.

“Saya yakin Harimau Malaya akan menggunakan 90 minit di Bukit Jalil dengan sebaik-baiknya bagi menjaringkan gol-gol dan mencipta kemenangan,” katanya.

“Yang pasti, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan Harimau Malaya dalam perlawanan tersebut serta perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.

Muhyiddin berkata sokongan padu akan terus diberikan kepada pemain-pemain skuad kebangsaan untuk menyaksikan penyertaan skuad itu pada Piala Dunia 2014.

Pada perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Jalan Besar di republik itu pada Sabtu lepas menyaksikan Malaysia kalah 3-5.

Pada perlawanan esok, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya jaringan 2-0 untuk mengatasi Singapura bagi melangkah ke pusingan berikutnya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply