Berita Hari Ini

PBS GERAKKAN JENTERA PILIHAN RAYA

PENAMPANG, 8 Julai (Bernama) — Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menggerakkan jentera pilihan rayanya di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri dan empat kawasan Parlimen yang disandangnya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

PBS juga akan mengadakan latihan simulasi pilihan raya umum pada Ogos atau September bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaannya untuk menghadapi pilihan raya sebenar, kata timbalan presiden parti itu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mempengerusikan taklimat khas bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Parlimen parti itu di sini, hari ini.

Katanya langkah itu diambil sebagai susulan kepada keputusan mesyuarat majlis tertinggi PBS Ahad lepas agar parti berkenaan menggerakkan jentera pilihan rayanya dengan serta-merta.

“Bahagian-bahagian PBS yang tidak diwakili Adun dan Anggota Parlimen parti ini telah diminta menubuhkan jentera pilihan raya untuk menyokong calon BN di kawasan masing-masing.

“Ini bertujuan menjamin kemenangan BN melalui sokongan dan kerjasama dalam kalangan semua parti komponen BN. Jentera BN yang berada dalam keadaan sempurna
boleh menjamin kemenangan kita,” katanya.

Ongkili berkata antara langkah yang boleh memastikan kecekapan jentera pilihan raya ialah penggunaan kemudahan teknologi  komunikasi maklumat (ICT).

“Sebuah bilik gerakan utama akan dibuka di ibu pejabat PBS untuk menyelaras semua maklumat yang dipancarkan secara elektronik dan melalui ICT dari semua kawasan pilihan raya yang dikuasai PBS, yang masing-masing mempunyai bilik gerakan sendiri.

“Ini akan menjamin maklumat dapat disebarkan secara berkesan untuk membolehkan kepimpinan mengenal pasti dengan tepat masalah serta penyelesaian yang diperlukan oleh jentera di peringkat lapangan,” katanya.

Ongkili berkata semua ketua bahagian, Adun dan Anggota Parlimen telah diingatkan supaya sentiasa turun padang untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka dan menangkis propaganda negatif serta serangan tidak berasas parti pembangkang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");