Perak Hari Ini

RM2 juta disediakan bantu sekolah mubaligh dan SMJK di Perak

Kerajaan negeri terus mengiktiraf sekolah beraliran dan mubaligh yang beroperasi di Perak dengan menyediakan peruntukan RM2 juta pada tahun ini bagi meringankan beban pengurusan sekolah berikutan peruntukan terhad yang diterima daripada Kementerian Pelajaran.

Sebagai tanda pengiktirafan, sebanyak 18 sekolah menengah jenis kebangsaan dan 17 sekolah mubaligh dari seluruh negeri hari ini menerima peruntukan sejumlah RM1 juta daripada kerajaan negeri yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Peruntukan bagi suku tahun pertama dan kedua 2011 itu akan digunakan untuk melaksanakan program serta melancarkan pengurusan sekolah.

Bagi kategori sekolah mubaligh, penerima tertinggi ialah SMI Development Fund iaitu berjumlah RM43,714,69 manakala Lembaga Pengelola SMJK Sam Tet menjadi penerima tertinggi untuk sekolah menengah jenis kebangsaan dengan peruntukan RM54,463,51.

Sementara itu, beberapa pengetua sekolah yang ditemui merakamkan perhargaan di atas bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Convent Teluk Intan, Grace Yip Ho, berkata bangunan sekolah yang dibina sejak 1923 sudah uzur dan kini diancam serangan anai-anai.

Katanya, pihak bersekolah akan cuba mengatasi masalah itu dengan menggunakan bantuan kewangan yang diterima tetapi peruntukan yang lebih besar amat diperlukan kerana bumbung sekolah juga perlu ditukar.

“Saya menyokong penuh insiatif yang diperkenalkan kerajaan Perak kerana sekolah mubaligh memang perlukan banyak bantuan kewangan kerana peruntukan yang diterima daripada kementerian agak terhad,” katanya.

SMK Convent Teluk Intan yang mempunyai lebih 800 pelajar menerima peruntukan berjumlah RM18,662.32 daripada kerajaan negeri.

Pengetua SMK (P) Methodist Ipoh, A Nalini, pula berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan berjumlah RM30,236,25 yang diterima hari ini.

Tegasnya, sekolah itu merupakan sekolah premier kerana mencatat keputusan cemerlang dan dengan bantuan yang diterima, ia akan digunakan untuk melaksanakan kerja menaiktaraf bangunan sekolah.

“Apabila sekolah ini dinaiktaraf, barulah pelajar dapat belajar dalam suasana yang selesa dan saya rasa bantuan seperti perlu diberi kepada sekolah mubaligh yang dikatogerikan sekolah bantuan modal.

“Dengan bantuan ini juga, ia dapat memudahkan pihak sekolah menaiktaraf bangunan termasuk mengecat bahagian yang usang dan membeli peralatan yang diperlukan bagi melancarkan proses pembelajaran ,” tegasnya lagi.

Kerajaan negeri katanya, jelas begitu prihatin dengan isu pendidikan di Perak yang mana bayaran kedua juga akan diberi kepada semua sekolah mubaligh dan sekolah menengah jenis kebangsaan pada penghujung tahun bagi suku ketiga dan keempat 2011 yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

“Secara keseluruhannya, pihak sekolah akan menerima bantuan kira-kira RM60,000 daripada kerajaan negeri pada tahun ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");