Berita Hari Ini

SIME DARBY MOTORS BUKA PUSAT 4S BMW KE-10 DI CHINA

CHENGDU, 8 Julai (Bernama) — Sime Darby Motors Sdn Bhd, cabang pemotoran Sime Darby Bhd, meluaskan kehadiriannya di China menerusi pembukaan pusat 4S (jualan, alat ganti, servis dan sistem) BMW ke-10 di negara ini.
Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam berkata pembukaan pusat itu mencerminkan keyakinan Sime Darby dalam segmen kereta mewah China.

“Sejak membuka kemudahan awal di sini pada Mei, syarikat itu merekodkan peningkatan jualan sebanyak 40 peratus (di Chengdu),” katanya pada perasmian pusat itu di sini pada Khamis.
Turut hadir ialah Pengerusi Sime Darby Motors Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Pengarah Urusan Sime Darby Motors Datuk Lawrence Lee.
Dibangunkan dengan kos RM60 juta, pusat 4S itu dimiliki dan diurus oleh anak syarikat milik penuh Sime Darby Motor, Chengdu Bow Yue Vehicle Sales Co Ltd. Menerusi keluasan 26,000 meter persegi, pusat itu dilengkapi bilik pameran dua tingkat dengan keluasan 2,650 meter persegi, pejabat jualan serta peralatan canggih.
Sementara itu, Lee brerkata pembukaan pusat 4S itu membolehkan Sime Darby Motor mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kereta mewah di bandar raya berkenaan serta di Barat China.
“Permintaan untuk kereta BMW terus meningkat. “Jualan terlaris kami di Chengdu ialah model 7-siri dan X-siri, yang merupakan modal terkemuka bagi jenama premium ini,” katanya.
Menurut Lee, tahun lepas saiz pasaran kereta mewah di China berjumlah 668,000 unit dengan Chengdu sahaja menyumbang 2.9 peratus atau 20,000 unit. Segment itu dijangka berkembang antara 20 dan 30 peratus setahun dan jualan kereta BMW sahaja diunjurkan berkembang sebanyak 29.4 peratus atau 50,000 unit kepada 220,000 tahun ini berbanding tahun lepas, katanya.
Lee bekata syarikat itu akan membuka pusat yang serupa di kawasan tengah China dalam tempoh 12 hingga 18 bulan, yang menunjukkan keyakinannya terhadap pasaran kereta mewah negara itu.
Pelaburan untuknya dijangkakan sama dengan di Chengdu, namun dengan bilangan penduduk seramai 30 juta, Chongqing merupakan pelaburan yang penting terhadap rangkaian nilai syarikat itu di China, katanya.
Beliau berkata pembukaan pusat 4S di Chengdu dan Chongqing juga adalah selari dengan sasaran syarikat untuk membuka kemudahan yang sama di semua bandaraya utama lain di China.
Rangkaian pengedaran Sime Darby Motor di China, tidak termasuk Hong Kong dan Macau, terletak di beberapa lokasi, termasuk di Guangzhou, Shenzhen dan Chengdu, meliputi 10 pusat 4S BMW, dua pusat servis dan sebuah bilik pameran.
— BERNAMA
MKI LAT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");