Berita Hari Ini

100,000 Al-Quran Untuk Komuniti Islam Kemboja

Daripada Rhoma Ahmad Razali

PHNOM PENH, 28 Julai (Bernama) — Program Wakaf Al-Quran Sedunia anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Restu akan menerbitkan 100,000 naskah al-Quran yang mempunyai terjemahan bahasa Khmer untuk diagihkan kepada masyarakat Islam di Kemboja dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di negara itu yang tidak mempunyai bekalan naskah al-Quran mencukupi dan memastikan setiap keluarga Islam mendapat sekurang-kurangnya satu naskah al-Quran.

“Di Kemboja terdapat kira-kira 500,000 umat Islam. Mengikut kadar pemilikan naskah al-Quran hari ini, cuma satu naskah bagi setiap enam keluarga. Jadi kita berharap rakyat Malaysia yang dermawan dapat memberi sumbangan melalui program ini dan dapat menghadiahkan satu naskah al-Quran bagi setiap keluarga di sini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 10,200 naskhah al-Quran wakaf di Masjid Chrouk Romeat di Kampung Chhang dan di Masjid Amar bin Yazid di KM 9, yang diterima oleh Presiden Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja Othsman Hassan dan Mufti Kemboja Kamaruddin Yusof, untuk diedarkan kepada masyarakat Islam setempat.

Ahmad Zahid berkata program itu menyasarkan untuk menerbit dan mengedarkan 20,000 naskah al-Quran setiap tahun selama lima tahun dan dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya pada bulan Ramadan tahun hadapan.

“Pada masa ini, terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer telah pun siap dan hanya menunggu dana yang mencukupi sebelum dapat diterbitkan,” katanya.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapannya di hadapan kira-kira 1,500 masyarakat Islam di Masjid Chrouk Romeat, Kampung Chhnang, Ahmad Zahid berkata sumbangan 10,200 naskah al-Quran itu adalah tanda keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap masyarakat Islam di Kemboja.

Sementara itu, Kamaruddin menyatakan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sumbangan itu yang dapat membantu masyarakat Islam di negaranya.

Menurutnya masyarakat Islam setempat memang bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar dalam membekalkan naskah al-Quran, yang sekaligus menjamin perkembangan ilmu al-Quran.

“Kami berharap pada masa akan datang al-Quran untuk penduduk Islam di sini akan mencukupi dan Yayasan Restu akan membantu cetak al-Quran itu,” katanya.

Pada kedua-dua majlis penyerahan itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan 500 buah muqaddam dan 1,000 helai sejadah untuk digunakan oleh masyarakat Islam di sana menjelang sambutan Ramadan ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");