Berita Hari Ini

Bersyukurlah Kerana Dapat Mengerjakan Ibadah Puasa Tanpa Halangan, Kata Muhyiddin

Umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur kerana boleh mengerjakan ibadah puasa dalam suasana aman dan harmoni, tanpa sebarang halangan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi telah memberi peluang kepada umat Islam untuk melaksanakan pelbagai amal ibadah dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan di sini sempena sambutan bulan Ramadan pada Isnin.

Muhyiddin berkata dalam konteks ini, keamanan adalah prasyarat kesempurnaan ibadah, dan keamanan adalah satu nikmat yang tiada tolak bandingnya di sisi agama.

Beliau berkata sebagai umat Islam, adalah wajib ke atas mereka untuk mempertahankan nikmat keamanan ini dengan menjauhi perbuatan-perbuataan yang boleh menggugat keamanan negara.

Untuk itu, katanya, umat Islam perlu mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan mereka yang merupakan asas kepada keamanan yang telah terbina di negara ini sejak sekian lama.

Justeru, Muhyiddin mengajak umat Islam supaya memenuhi bulan mulia ini dengan pelbagai aktiviti ibadah yang dituntut oleh Allah S.W.T dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran, bertadarus, berselawat, bersedekah, qiamullail dan iktikaf di masjid selain tolong menolong sesama umat Islam dalam perkara-perkara kebaikan.

“Mudah-mudahan Ramadan kali ini membuka pintu keampunan dan kerahmatan kepada kita semua. Semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah S.W.T, dan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

“Saya berdoa agar kita dapat menjalani ibadah puasa yang sempurna dan semoga Ramadan ini menjadikan kita, umat Islam yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah S.W.T kepada kita,” kata Muhyiddin.

Beliau turut menasihatkan umat Islam supaya berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran di sepanjang bulan Ramadan ini.

“Sesungguhnya, bulan Ramadan adalah madrasah terbaik untuk kita melatih diri supaya lebih berhemah dalam berbelanja yang merupakan salah satu daripada tuntutan agama,” katanya.

Beliau dan keluarga turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam di Malaysia.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");