Kolumnis

Gejala Murtad Bukan Perkara Taboo… Ia Perlu Tindakan Tegas!

Ada beberapa kes melibatkan isu murtad yang pernah menggemparkan Malaysia. Antaranya ialah Lina Joy yang mendapat sokongan serta bantuan langsung daripada Pakatan Rakyat, Majlis Peguam serta NGO-NGO termasuklah Ambiga Sreevanasan yang merupakan Pengerusi BERSIH 2.0.

Kemudian muncul pula kisah Nyonya Tahir dan yang paling menggemparkan sudah pastilah kisah Fatimah Tan atau nama sebenarnya Tan Ean Huang. Ada pendapat-pendapat songsang yang cuba menyatakan bahawa apabila seseorang itu tidak lagi mahu kepada Islam, sebaliknya lebih berminat dengan agama lain, eloklah dibenarkan supaya tidak timbul sebarang kontroversi. Kata mereka lagi, buat apa disimpan golongan yang sudah tidak berminat dengan Islam kerana mereka hanya akan memburukkan imej Islam.

Kita ambil kisah Fatimah Tan. Fatimah Tan mendakwa dia tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk Islam untuk mencukupkan syarat bagi membolehkan dia berkahwin dengan seorang warga Iran bernama Ferdoun Ashanian. Fatimah memohon keluar dari Islam kerana tidak pernah mengamalkan ajaran Islam semenjak dia memeluk Islam pada 25 Julai 1998 dan berkahwin dengan Ferdoun pada 16 September 2004. Dia kemudiannya ditinggalkan oleh suaminya tanpa sebarang sebab.

Dalam tuntutannya juga, Fatimah menyatakan bahawa sepanjang memeluk Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya selain masih lagi memakan daging babi.

Dalam respons terhadap kes Fatimah Tan itu, Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR berkata, itu adalah hak Fatimah untuk kembali ke agama asalnya. Majlis agama Islam negeri seharusnya menunjukkan lebih keprihatinan berhubung kebajikan mualaf seperti Siti Fatimah.

Malah orang yang paling gembira dengan pemurtadan Siti Fatimah Tan adalah Lim Guan Eng yang menyifatkan tindakan wanita itu sebagai ‘SESUATU YANG DIALU-ALUKAN’.

Al-Quran ada menyebut yang maksudnya:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan (saudara baru) yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 60)

Daripada perbicaraan yang akhirnya membenarkan Siti Fatimah Tan murtad, hujah utama ialah masalah kewangan yang menyebabkan dia berputus asa dengan Islam, selain ketiadaan bimbingan daripada pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan, termasuklah dari bekas suaminya sendiri.

Walaupun Siti Fatimah Tan memeluk Islam semata-mata atas dasar perkahwinan, bukan disebabkan keikhlasan tetapi itu bukanlah alasan untuk pihak berkuasa dan umat Islam untuk melepaskan tanggungjawab melakukan proses tarbiyyah dan membimbingnya.

Antara tugas utama Syaidina Abu Bakar r.a sewaktu kekhalifahannya ialah memerangi golongan murtad dan enggan mengeluarkan zakat. Tugas tersebut dijalankan selama lebih kurang 10 bulan bermula dari awal kekhalifahannya. Malah dalam Perang Yamamah sahaja, telah mengorbankan seramai 1,200 orang syuhada’ semata-mata untuk memerangi golongan murtad.

Perhatikan betapa seriusnya Syaidina Abu Bakar r.a dalam menangani isu murtad ini. Sedangkan Syaidina Abu Bakar r.a yang merupakan Sahabat ulung Nabi s.a.w mempunyai pandangan yang sangat tajam terhadap isu murtad, mengapa pula kita pada zaman sekarang, memandang ringan? Mengapa pula kita terlebih takut kepada kuasa undi berbanding menjalankan amanah yang telah diperintahkan oleh Allah Taala?

Justeru, mengapa sebahagian pencacai Pakatan Rakyat berpandangan bahawa tindakan Jabatan Agama Islam Selangor dan Hasan Ali menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama kerana mendapat maklumat tentang usaha memurtadkan umat Islam, dipandang dari sudut toleransi dan perpaduan kaum?

Seharusnya dari awal lagi, tindakan keras dan tegas perlu diambil dalam menangani masalah murtad. Murtad dan kebebasan agama, tidak berkaitan sama sekali. Sebaliknya ia digunakan oleh puak-puak yang kononnya memperjuangkan hak-hak asasi manusia untuk membuktikan bahawa Islam tidak pernah serasi dengan hak asasi manusia walaupun hakikatnya, Islamlah yang paling kukuh menjaga hak asasi manusia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");