Perak Hari Ini

Kerajaan prihatin kebajikan penjawat awam

Kakitangan awam di Perak turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang akan dibayar pada pertengahan ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Ia sebagai menghargai sumbangan serta dedikasi kira-kira 1.27 juta penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan berita gembira kepada 590,000 pesara kerajaan yang akan menerima Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500.

Pembayaran bonus dan Bayaran Khas Kewangan itu membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.

Kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia Daerah Manjung, Norsharuddin Sapian, berkata pemberian bonus yang sedikit atau banyak tidak seharusnya menjadi isu sebaliknya yang penting kerajaan tetap prihatin dengan nasib kakitangan awam di negara ini.

Pemberian bonus itu juga katanya, dapat meringankan perbelanjaan kakitangan awam apatah lagi menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Saya dan penjawat awam di seluruh negara akan meneruskan misi dan visi kerajaan dalam membangunkan negara tercinta ini,” katanya yang sudah 19 tahun berkhidmat dengan jabatan itu.

Guru SMK Besout, Rizana Rafiai, juga tidak ketinggalan melahirkan rasa syukur kepada Tuhan di atas pemberian bonus setengah bulan gaji itu yang dilihat mampu meringankan beban yang ditanggung penjawat awam.

“Syukur Alhamdulillah..sekurang-kurangya penjawat awam dapat juga bonus pada tahun ini. Soal sedikit atau banyak tidak penting kerana yang lebih utama kerajaan tetap prihatin dengan nasib kakitangan awam,” katanya lagi.

Bagi petugas Jabatan Penyiaran Perak, Rosmawati Md Isa, pemberian bonus itu pastinya menggembirakan penjawat awam dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Sudah pasti berita ini cukup menggembirakan kami kerana kali terakhir kakitangan awam menerima bonus daripada kerajaan adalah pada 2008,” tegasnya.

Kakitangan Majlis Daerah Batang Padang, Roza Azilla Mohd Razali, pula berkata pemberian bonus itu membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf dan menghargai sumbangan kakitangan awam dalam membangunkan negara ini.

Berkhidmat sejak lebih setahun lalu, anak kelahiran Ipoh itu berkata, beliau cukup gembira di atas pemberian bonus itu yang turut membuktikan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan awam.

Kali terakhir kerajaan membayar bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 adalah pada September dan Disember 2008.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");