Perak Hari Ini

KPLBW lulus RM7,160 bantu Zahid berniaga

Ketibaan Ramadan tahun ini pastinya lebih ceria dan bermakna buat Zahid Md Arif apabila menerima peralatan berniaga laksa dan keropok lekor di bawah skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW).

Peralatan lengkap bernilai RM7,160 termasuklah kereta sorong, payung, kerusi meja, dapur, periuk, tong gas serta modal wang tunai RM200 diserahkan oleh Adun Slim, Datuk Khusairi Talib dalam satu majlis ringkas di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, dekat Sungkai semalam.

Sebelum ini, Zahid terlantar sakit manakala isterinya pula tiada punca pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

Khusairi berkata, beliau mendoakan agar pasangan itu dapat membina hidup baru selepas menerima bantuan di bawah skim berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengawai Daerah dan Tanah Batang Padang (Pembangunan), Roza Azilla Mohd Razali, berkata Zahid yang terlantar sakit akibat jangkitan pada hati merupakan antara golongan sasaran kementerian itu dalam membasmi kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar.

“Penerima bantuan di bawah skim PLB ini mestilah berdaftar dengan e-Kasih dan pada mesyuarat fokus yang diadakan, kita telah bersetuju untuk meluluskan bantuan peralatan gerai kepada Zahid yang bernilai RM7,160 untuk berniaga laksa dan keropok lekor.

“Dengan bantuan ini, kerajaan mahu membantu peserta meningkatkan pendapatan keluarga sekaligus keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya kepada Peraktoday.com.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memantau serta menilai tahap kemajuan perniagaan Zahid dari semasa-semasa dan memberi khidmat nasihat yang diperlukan jika berhadapan sebarang masalah.

“Dengan bantuan ini, kita berharap beliau dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik demi masa isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");