Perak Hari Ini

MB Perak Puji Kecekapan TLDM Dan APMM Banteras Lanun

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir Isnin memuji kecekapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menumpaskan rampasan dua buah bot nelayan tempatan oleh sekumpulan lanun dekat sini semalam.

Katanya kejayaan berkenaan penting bagi mengembalikan keyakinan nelayan terhadap pihak berkuasa dan menggalakkan mereka keluar semula menangkap ikan di laut tanpa perasaan takut, sekali gus menambah semula pendaratan hasil ikan.

“Tindakan APMM dan TLDM yang berjaya menahan dua orang lelaki warga asing dipercayai lanun semasa mereka sedang melarikan dua buah bot nelayan tempatan berhampiran Pulau Jarak, dekat sini semalam amat dialu-alukan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu sesuatu yang cukup bermakna kerana masalah nelayan diganggu lanun bukan perkara baru namun jarang penjenayah itu dapat ditahan pihak berkuasa.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada APMM dan TLDM atas kejayaan tersebut,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, dua lelaki warga asing dipercayai lanun ditangkap pasukan APMM manakala tiga yang lain berjaya melarikan diri semasa mereka sedang melarikan dua buah bot nelayan tempatan menuju ke perairan antarabangsa berhampiran Pulau Jarak kira-kira 3 pagi.

Tekong salah sebuah bot nelayan itu sempat melaporkan kejadian kepada pemilik bot yang berpangkalan di sini.

APMM terus menghantar kapal KM Siangin dan kapal KM Marlin ke lokasi berkenaan, selain mendapat bantuan kapal TLDM, KD Laksamana Hang Nadim dan dua buah helikopter TLDM jenis Fennec dan Super Lynx dan berjaya menahan dua daripada lima orang suspek.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, jurucakap APMM berkata kesemua 18 nelayan kedua-dua bot berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata kedua-dua suspek warga asing itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");