Berita Hari Ini
Like

Najib lancar 11 unit ambulans Kelab Putera 1Malaysia

August 26, 2011
513 Views
0 Comments
3 minutes read
Najib lancar 11 unit ambulans Kelab Putera 1Malaysia

Sebelas unit ambulans Biro Kecemasan Kelab Putera 1Malaysia akan ditempatkan 24 jam di beberapa lokasi panas di sepanjang lebuh raya seluruh negara, bermula hari ini hingga 6 September depan sempena perayaan Aidilfitri.

Unit ambulans itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, di perkarangan Bangunan Perdana Putra, dekatĀ  Putrajaya, petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata empat ambulans akan ditempatkan di lokasi tertentu sepanjang Tol Subang, Kuala Lumpur-Bukit Kayu Hitam; tiga ambulans di Tol Sungai Besi-Johor Baharu; dan empat lagi ambulans di Tol Gombak-Gua Musang.

“Setiap ambulans lengkap dengan kemudahan bantuan kecemasan dan 11 doktor sukarelawan bersama 66 anggota paramedik berumur lingkungan antara 18 hingga 25 tahun yang dahulunya adalah bekas mat rempit,” katanya.

Abdul Azeez berkata, semua anggota paramedik itu telah menjalani kursus intensif di kolej perubatan tertentu di seluruh negara seperti Kolej Masterskill dan Kolej Islam Terengganu (KIST).

“Kita juga akan bekerjasama dengan pengendali lebuh raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu agensi terbabit jika berlaku sebarang kemalangan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, pihaknya gembira kerana dapat memberi peluang kedua kepada bekas mat rempit untuk berbakti kepada masyarakat dengan berkhidmat sebagai paramedik.

Katanya, melalui kursus komprehensif serta tambahan yang diberi oleh pakar jabatan kecemasan, mereka yang dahulunya mat rempit kini mempunyai pekerjaan tetapĀ  di klinik kerajaan dan hospital swasta.

“Bekas mat rempit ini merasakan sudah tiba masanya bagi mereka pula menabur bakti kepada rakyat dengan mengorbankan masa dan cuti untuk bersama keluarga di Hari Raya dengan bertugas secara bergilir-gilir dalam tempoh 24 jam di sepanjang tempoh Ops Sikap ke-24 berlangsung.

“Ini cukup bertepatan dengan gagasan Rakyat Didahulukan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri yang juga merupakan penaung kepada Kelab Putera 1Malaysia,” tegasnya lagi.

Menurut Abdul Azeez lagi, sejak kelab itu ditubuhkan, pihaknya telah mendekati lebih 7,000 mat rempit di seluruh negara yang menunjukkan minat dalam pelbagai bidang kemahiran antaranya masakan, automatif dan paramedik.

Katanya, pengalaman sebagai bekas mat rempit dan melihat sendiri rakan terbabit dalam kemalangan menimbulkan minat kepada sebahagian daripada mereka untuk mengikuti kursus paramedik.

Ujar beliau lagi, melalui dana Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan, bekas mat rempit yang berminat ditawarkan mengikuti kursus paramedik Tahap 1, 2 dan 3 selama setahun dengan kos RM18,000 seorang.

“Melalui kursus paramedik yang ditawarkan kepada bekas mat rempit ini, kita berjaya memperkenalkan pemikiran di luar kotak memandangkan negara memerlukan lebih ramai paramedik lelaki.

“Kini, mereka dapat membantu dalam usaha menyelamatkan mangsa kemalangan dan mungkin khidmat paramedik ini akan diperluaskan bagi membantu mangsa bencana alam pula,” katanya lagi.

Komen & Pendapat

Leave a Reply