Isu Panas

PAS Ketandusan Isu Hingga Fitnah Najib Dan UMNO : Badruddin

Dakwaan PAS kononnya wujud gerakan dalam Umno untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tuduhan tidak benar dan membuktikan PAS sudah ketandusan isu, kata Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin.

Beliau berkata dakwaan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang dibuatnya pada satu sidang akhbar di sini pada Khamis menunjukkan parti itu sengaja mengadakan isu itu bagi mewujudkan suasana berpecah-belah dalam kalangan anggota Umno yang kini mantap menyokong Najib.

“Bagaimana seorang presiden parti (Najib) boleh menjadi liabiliti kepada parti yang semakin bagus prestasinya?” kata Badruddin kepada Bernama di sini bagi mengulas dakwaan Mustafa kononnya Umno menimbulkan isu Tengku Razaleigh Hamzah bakal menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang untuk menutup isu dalaman Umno dan wujudnya gerakan serius dalam Umno untuk menjatuhkan Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

Badruddin berkata Umno adalah parti yang paling kukuh yang mana setiap anggotanya sentiasa taat kepada kepimpinan parti.

“Dalam Umno tiada sikap berpuak-puak dan saya minta beliau (Mustafa) jaga mulut di bulan Ramadan ini dan tidak melakukan fitnah,” katanya.

Badruddin juga berkata Najib sangat memberi perhatian kepada rakyat “dan sekarang kita tengok bukan sahaja anggota Umno yang menyokongnya, bahkan rakyat juga menyokong Barisan Nasional.”

“PAS ini sengaja nak mereka-reka isu,” katanya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dakwaan PAS itu merupakan mainan politik kotor pembangkang yang cuba melemah dan memecah belahkan anggota Umno.

“Ini adalah perkara yang tidak benar. Matlamat mereka adalah untuk melaga-lagakan anggota BN dan juga Umno.

“Perdana Menteri bukanlah liabiliti. Ini dah dibuktikan menerusi beberapa pilihan raya kecil yang nyata BN berjaya,” katanya kepada Bernama.

Shafie berkata Umno kini berada di landasan yang betul dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat.

“Semua pihak termasuk rakyat menerima Perdana Menteri dengan baik,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");