Perak Hari Ini

Perak minta JKR pantau kedudukan tebing tinggi

Kerajaan Perak meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memantau rapi kedudukan tebing tinggi yang terletak di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang terdedah kepada risiko tanah runtuh terutamanya pada musim hujan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata jabatan itu boleh menggunakan peruntukan yang diperolehi untuk melaksanakan langkah pencegahan diperlukan agar kawasan tebing bukit yang turut menjadi tempat tadahan air tidak terjejas akibat kejadian tanah runtuh.

“Salah satu kawasan yang diancam serius kejadian tanah runtuh di laluan itu terletak berhampiran Pos Slim dan kita sudah minta agar JKR dapat membuat pemantauan rapi terhadap perkara ini bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri katanya, turut merakamkan rasa sedih di atas kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands, petang semalam yang mengorbankan tujuh nyawa.

“Saya juga tidak ketinggalan mengikuti kejadian tanah runtuh yang berlaku di Tanah Rata, Cameron Highlands yang berlaku petang semalam dan kita berharap siasatan menyeluruh dapat dilakukan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

Tujuh termasuk empat wanita maut, manakala dua parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang, di Cameron Highlands, petang Ahad.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50, Jaafar, 49, Mohd Ikbal Jaafar, 15, Sara Gunung, 37, Norma Gunung, 51, dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

“Segala operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan pada 1.50 pagi. Bagaimanapun pihak polis meneruskan bagi menjalankan operasi kawalan di kawasan kejadian,” kata Ketua Polis Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata mangsa terakhir ditemui 1.20 pagi.

Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk bedah siasat manakala yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut, katanya.

Wan Zahari berkata berkata kedua-dua mangsa yang cedera itu dilaporkan stabil.

“Sebanyak 248 anggota pelbagai agensi antaranya polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan SMART dan Rela terlibat dalam operasi di kawasan kejadian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");