Berita Hari Ini
Like

SPR masih kaji tambah baik proses pilihan raya

August 25, 2011
179 Views
0 Comments
4 minutes read
SPR masih kaji tambah baik proses pilihan raya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih mengkaji penggunaan sistem biometrik atau dakwat kekal bagi menambah baik perjalanan pilihan raya umum pada masa akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata suruhanjaya itu masih mengkaji daripada aspek perundangan terhadap kedua-dua sistem itu, terutamanya jika penggunaan kedua-duanya diwajibkan ke atas setiap pengundi.

“Sekiranya penggunaan sistem itu adalah sesuatu yang wajib, maka undang-undang semasa perlu dipinda di Parlimen, dan saya menjangkakan (cadangan) itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Oktober-November depan,” katanya pada sesi taklimat dan soal jawab bersama media anjuran Pusat Kecemerlangan Bernama di Wisma Bernama di sini hari ini.

Sesi taklimat dan soal jawab bersama media yang bertajuk “Trend Terkini Dalam Sistem Pilihan Raya di Malaysia dan Tuntutan Bersih 2.0” itu bagi menjawab lapan perkara yang dituntut satu kumpulan dikenali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai lalu, iaitu penggunaan dakwat kekal, membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Abdul Aziz berkata SPR tidak menolak kemungkinan menggunakan kedua-dua sistem itu pada pilihan raya umum ke-13 kerana ia mempunyai pakar perunding dan badan penasihat bagi menjamin ketelusan proses pengundian.

Ketika ditanya sama ada perubahan itu akan dilaksanakan semasa menghadapi pilihan raya umum ke-13, beliau berkata: “Insya-Allah sekiranya ia sempat diluluskan di Parlimen.”

Bagaimanapun, katanya, sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan sebelum pilihan raya diadakan selepas menjalankan ujian kecekapan sebelum melaksanakan sesuatu sistem itu.
Aziz berkata SPR menjangka mengesyorkan perkara itu kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan ditubuhkan.

Dalam konteks ini, katanya, sekiranya penggunaan dakwat kekal dilaksanakan, penafian hak seseorang pemilih untuk mengundi dikhuatiri boleh berlaku dalam keadaan jari mereka mungkin dipalit dengan dakwat kekal secara sukarela atau mereka tidak berbuat demikian.

Mengenai sistem biometrik pula, beliau berkata meskipun sistem biometrik merupakan sistem paling baik untuk membersih senarai daftar pemilih, kelemahan daripada segi teknikal seperti penggunaan mesin yang mungkin rosak dan cap jari tidak dapat diakses, perlu diambil kira.

“SPR akan melihat dari semua aspek (kedua-dua sistem) termasuk penggunaan dakwat yang halal bagi memuaskan hati semua pihak dan mengelakkan dari melakukan kesilapan pada hari pengundian,” kata Abdul Aziz sambil menjelaskan bahawa rekod terkini jumlah pengundi yang berdaftar ialah seramai 12.4 juta termasuk 200,000 orang pengundi pos.

Katanya SPR juga sedang menimbang untuk mewujudkan pengundian pos bagi pengamal media yang membuat liputan semasa pilihan raya dan bagi semua pengundi berdaftar Malaysia yang menetap di luar negara mengundi melalui pos.

“SPR sedang dalam proses meminda peraturan pilihan raya untuk membolehkan mereka berbuat demikian dan berharap ini dapat dilakukan semasa pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Mengenai tempoh kempen 21 hari yang dituntut kumpulan Bersih, katanya, tempoh yang munasabah serta adil perlu dititikberatkan seperti menilai dari sudut kesihatan dan tidak melebihi daripada dua minggu berkempen.

Berhubung cadangan pengundian awal bagi menggantikan undi pos, Abdul Aziz berkata, ianya untuk mencari kaedah terbaik memantapkan sistem pengundian pos dengan melakukan proses pengundian lebih awal.

“Pengundi akan dikumpulkan di satu tempat dua atau tiga hari sebelum pengundian awam bermula dan proses pengundian berlangsung seperti biasa tetapi awal sedikit,” katanya.
– BERNAMA
Abdul Aziz berkata SPR tidak akan membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya memandangkan ia bukan satu kemestian dilakukan dalam tempoh lapan tahun berakhir pada 21 Mac lalu.

Komen & Pendapat

Leave a Reply