Isu Panas

Tindakan Dawama langgar hak asasi pekerja, kata pengerusi kokus Parlimen

Pengerusi Kokus Parlimen mengenai pekerja Abdullah Sani Hamid menyelar keputusan Dawama Sdn Bhd yang mengarahkan hampir 400 pekerjanya bercuti nanpa gaji bermula semalam sambil menyifatkannya satu tindakan “biadab dan melanggar hak asasi pekerja.”

Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada minggu lalu telah memberikan notis cuti tanpa gaji kepada 380 pekerja ekoran masalah kewangan.

Abdullah Sani yang juga Pengarah Biro Pekerja PKR menegaskan, Dawama tidak mempunyai hak untuk mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji sebelum menjelaskan semua bentuk bayaran.

“Syarikat tidak boleh mengarahkan pekerja bercuti tanpa gaji sehingga satu jalan penyelesaian dibuat termasuk majikan memotong gaji sendiri dan juga potongan-potongan lain (yang dibuat) harus dijelaskan.

“Di mana kedudukan pekerja dalam hal ini, ini adalah satu tindakan biadab… pekerja ada hak ke atas syarikat dan ini merupakan satu pencabulan hak pekerja,” kata Ahli Parlimen Kuala Langat ini pada sidang media di pekarangan ibu pejabat Dawama di sini Hulu Klang di sini.

Beliau juga berkata akan membawa perkara itu ke perhatian Jabatan Perhubungan Perusahaan.

“Tindakan Dawama ini merupakan satu penganiayaan kepada pekerja-pekerja dan apa yang berlaku ini adalah pencabulan undang-undang.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, syarikat telah aniayai dan mengkhianati undang-undang negara… kita tidak akan biarkan ia berterusan,” katanya sambil turut meminta Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd membawa perkara itu ke perhatian Kementerian Sumber Manusia.

Semalam kira-kira 200 pekerja Dawama mengadakan protes bantahan mendesak Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Notis itu yang menggariskan pertikaian dengan DBP sebagai alasan, agensi terletak di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai punca kepada tindakan tersebut.

Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd Zainal Awit yang turut hadir pada sidang media itu juga sekali lagi meminta Muhyiddin agar membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja-pekerja.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");