Perak Hari Ini

Ambil iktibar di sebalik tempoh 14 hari komunis kuasai Tanah Melayu

Rakyat negara ini terutamanya generasi muda perlu mengambil iktibar terhadap kekejaman pemerintahan komunis yang menguasai Tanah Melayu dalam tempoh 14 hari selepas Perang Dunia Kedua diisytiharkan tamat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, generasi muda hari ini malangnya tidak diingatkan dengan kekejaman pemerintahan komunis, iaitu Bintang Tiga yang anti-Jepun.

“Bintang Tiga telah memerintah dengan kejam dalam tempoh 14 hari dan pada ketika itu, ada persediaan di kalangan Raja-Raja Melayu untuk menerima kembali kehadiran British selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu.

“Ini bukan bermakna mereka suka kepada kehadiran pihak British tetapi mereka dapat merasakan pentadbiran di bawah komunis lebih merbahaya….kerjasama pada waktu itu juga bersifat sementara dalam proses mendapatkan kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran UMNO Bahagian Parit, di Dataran Parit, hari ini.

Pada majlis sama, Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan turut melancarkan Jentera Pilihan Raya- 13,  Parlimen Parit.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada waktu itu, idealogi komunis masih di peringkat percubaan apabila pengasasnya Karl Marx mahu mewujudkan masyarakat tanpa kelas dan beberapa negara di rantau Asia Tenggara seperti Vietnam dan Myanmar telah berminat untuk mempraktikkan idealogi berkenaan.

“Kita dapat lihat sendiri hari ini bagaimana percubaan negara lain seperti China, Russia dan negara Islam seperti Kazakhstan untuk mengamalkan idealogi komunis tidak berjaya dan mereka juga terpaksa membayar dengan harga yang tinggi,” katanya lagi.

Ahmad Shabery berkata lagi, Mat Indera yang didakwa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai hero sebenar di sebalik tragedi Bukit Kepong adalah orang sama yang sanggup berkongsi kuasa dengan komunis.

“Pada hari ini, PAS tidak kisah jika DAP memerintah asalkan UMNO kalah…inilah sikap PAS sekarang.

“Dia tak tanya maksiat samada dihapuskan kerana baginya lebih baik duduk di bawah pemerintahan Karpal Singh daripada di bawah pentadbiran kerajaan hari ini,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Shabery memuji jentera pilihan raya Parlimen Parit yang disifatkannya terbaik dalam menghadapi pilihan raya umum.

Katanya, berdasarkan pengalaman parti yang tewas kepada pembangkang pada 1999 membuatkan rakyat di kawasan itu berasa serik lalu kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum 2004 dan 2008.

“Parlimen Parit adalah antara bahagian yang tidak terjejas langsung dalam tsunami politik yang melanda negara pada 2008 di mana kita terus menguasai kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN iaitu Belanja dan Bota,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");