Isu Panas

Fahami Perlembagaan negara sebelum menuding jari

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad digesa membaca dan memahami Perlembagaan negara berhubung bidang kuasa pihak berkuasa agama Islam negeri sebelum menabur fitnah iaitu mengaitkannya dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah sebuah badan agama yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu dan tidak bersangkut paut dengan UMNO.

“Apa ada kena mengena dengan UMNO? Kalau polis yang tangkap mungkin ada kaitan kerana pasukan tersebut berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi JAIS tidak.

“Adakah UMNO yang suruh dia (Khalid) beri ceramah walaupun dia tiada tauliah? Saya tidak tahu kalau dia tidak begitu cerdik mahu menurut kata UMNO.

“Bagaimanapun, Khalid seolah-olah menggambarkan UMNO yang menyuruhnya berceramah. Kita (UMNO) mengadu kerana ceramah mereka tidak berasas,” katanya pada Minggu Perkasa Putra Pelajar Baharu Semester Pertama Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan.

Noh mengulas dakwaan Khalid bahawa JAIS yang menjalankan tugas berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 mengamalkan diskriminasi dan bersekongkol dengan UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas itu turut mendakwa peraturan tauliah digunakan untuk menyekat pergerakan Pas mengadakan ceramah di masjid dan surau.

Menurut Noh, Pas kini yang sudah hilang punca berikutan pendirian tidak tetap berhubung pelbagai isu terutama perjuangan asal parti itu menyebabkan pemimpinnya hilang fokus dan bertindak melulu dengan menuding jari kepada UMNO dalam isu berkenaan.

Sambil menyifatkan Pas masih tidak dapat lari daripada taktik kolot tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kepimpinan parti tersebut meskipun secara luaran dilihat cerdik, namun sebenarnya tidak.

“Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pernah didakwa sebegini. Jadi, dia (Khalid) kena faham kenapa kena ada lesen, macam kita bawa kereta, kalau lesen kita tamat tempoh, salah atau tidak?

“Bolehkah kita beritahu mahkamah bahawa kita tidak pernah kemalangan dan mengapa kita perlu ada lesen? Boleh tidak kita cakap begitu? Jika pakar sekalipun, apabila undang-undang kata harus ada tauliah, kenalah ada tauliah,” ujarnya.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");