Perak Hari Ini

Hospital baru Perak Tengah

Kementerian Kesihatan diminta menyegerakan pembinaan hospital baru Perak Tengah bernilai RM104 juta yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2007.

Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria berkata, hospital baru itu sangat penting bagi menyediakan kemudahan kesihatan lebih baik kepada penduduk kawasan ini yang jumlahnya kini melebihi 120,000 orang termasuk 20,000 pelajar institusi pengajian tinggi.

Katanya, ia juga perlu kerana Bandar Baru Seri Iskandar kini menjadi pusat perniagaan dan pentadbiran yang menjadi tumpuan penduduk.

‘‘Saya berharap kerajaan Pusat dapat memasukkan peruntukan pembinaan hospital ini di dalam bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan kuih raya kepada kakitangan serta pesakit di Hospital Changkat Melintang, dekat Seri Iskandar.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan pembinaan sebuah hospital baru di Seri Iskandar di atas tapak seluas 12.1 hektar bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang, di Lambor, Bota, di sini yang cuma mempunyai kapasiti 50 katil.

Namun, sehingga kini, hospital yang ditunggu-tunggu oleh penduduk itu belum lagi dibina.

Mohd. Nizar turut mencadangkan supaya hospital baru yang bakal dibina itu menyediakan rawatan pakar untuk kanak-kanak serta penyakit kronik seperti jantung.

‘‘Pada masa ini, penduduk terpaksa pergi ke Ipoh atau Manjung untuk mendapatkan rawatan pakar. Jika ada rawatan pakar di sini, ia akan memudahkan penduduk,” ujarnya.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");