Perak Hari Ini

JKR sahkan empat lagi bangunan lama di Lorong Panglima tidak selamat diduduki

Empat buah lagi bangunan lama di Lorong Panglima, dekat Pekan Lama disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri tidak selamat untuk diduduki dan penghuninya sudah diarahkan supaya mengosongan premis terbabit dengan segera.

Exco Industri, Pelaburan, Pelancongan, Pembangunan Usahawan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, kerajaan Perak mengambil serius insiden dua bangunan di lorong sama yang runtuh beberapa hari lalu dan sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal yang membabitkan keselamatan rakyat.

“Walaupun kita berusaha untuk menarik kehadiran pelancong dengan tarikan bangunan lama dan warisan, tetapi apabila ia membabitkan aspek keselamatan, kita tidak akan berkompromi.

“Selepas dua bangunan di lorong itu runtuh, siasatan JKR mendapati empat lagi bangunan di tempat sama juga merbahaya dan tidak selamat didiami.

“Petang semalam, semua penghuni premis itu diarahkan keluar dari bangunan masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Adun Sungai Rapat, Sabtu.

Rabu lalu, dua bangunan rumah kedai di Lorong Panglima di Pekan Lama tiba-tiba runtuh kira-kira 11.30 malam apabila tingkat atas kedua-dua bangunan yang dibina sejak 1970-an itu rebah menyembah bumi.

Namun dalam kejadian itu, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan kerana bangunan tersebut tidak didiami orang.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata tindakan mahkamah boleh dikenakan terhadap pemilik bangunan lama di bandaraya Ipoh akibat kegagalan mereka untuk membaik pulih bangunan masing-masing.

Kerajaan negeri katanya, tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian kerana kelewatan membaik pulih boleh mendedahkan orang awam kepada bahaya seperti bangunan runtuh.

Menurutnya, terdapat kira-kira 60 bangunan rumah kedai lama di sekitar Bandaraya Ipoh dan daripada jumlah tersebut 15 daripadanya perlu di baik pulih dengan kadar segera.

“Saya mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memanggil pemilik bangunan lama di sini bagi mengadakan perbincangan.

“Selepas perbincangan, kita akan mengeluarkan notis kepada mereka dalam tempoh 14 hari mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1976 akta 133 bagi membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");