Berita Hari Ini

Kaji semula skim kebajikan golongan kurang bernasib baik

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Yayasan 1Malaysia mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula skim kebajikan yang diperkenalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk warga tua, ibu tunggal serta kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Pemegang Amanah yayasan tersebut, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kajian itu penting bagi membolehkan golongan tersebut menerima peruntukan bulanan yang lebih tinggi bagi menampung keperluan mereka.

“Ini berikutan golongan miskin dan kurang bernasib mewakili sebahagian besar bilangan masyarakat di negara ini, jadi mereka layak mendapat bantuan kewangan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) akan disalurkan untuk membantu golongan warga emas.

Daripada kira-kira 500,000 penerima bantuan yang disasarkan, warga emas menerima peruntukan terbesar iaitu RM455 juta diikuti orang kurang upaya (RM332 juta), program-program kemasyarakatan komuniti (RM303 juta), kanak-kanak (RM290 juta) dan balu polis dan tentera (RM4.1 juta).

Di bawah Kar1sma, pelbagai perkhidmatan seperti bantuan kewangan bulanan, pusat jagaan harian, program ziarah dan bantu, insentif OKU produktif, latihan kepada ibu tunggal, pemeriksaan kesihatan dan mamogram serta pusat aktiviti kanak-kanak turut ditawarkan kepada kumpulan sasar.

Tambah Lam Thye, golongan kurang bernasib baik sangat menghargai bantuan tersebut kerana ia dapat membantu meringankan beban mereka.

“Bantuan tersebut mampu membantu golongan sasar keluar daripada kemelut kesusahan ekoran keadaan ekonomi dan sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");