Berita Hari Ini

Keadaan berjerebu dijangkakan berterusan

KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh 24 jam lalu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 11 pagi, 8 September 2011 mencatatkan 16 kawasan berada pada tahap baik dan 33 kawasan berada pada tahap sederhana.

Tiada stesen berada pada tahap tidak sihat.

Kemerosotan kualiti udara mula dikesan semenjak 6 September 2011 di sekitar jam 5 petang di beberapa kawasan di utara dan pantai barat Semenanjung, di beberapa daerah di Pahang dan di sekitar Lembah Kelang.

Menurut ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), terdapat kawasan yang tidak menerima hujan selama 5 hari berturut-turut iaitu di Arau, Kota Setar, Seberang Perai Utara, Kinta, Manjung, Temerloh, Kepong, Kelang, Petaling, Sabak Bernam, Batu Pahat dan Miri.

Dengan keadaan cuaca yang diramal agak kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung, adalah dijangkakan keadaan berjerebu ini akan berterusan untuk beberapa hari akan datang.

Laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh “ASEAN Specialised Meteorological Centre” (ASMC) menunjukkan bilangan titik panas (hotspot) di Sumatera, Indonesia telah meningkat daripada 73 titik panas pada 6 September 2011 kepada 120 titik panas pada 7 September 2011. Imej satelit ASMC juga menunjukkan kebakaran telah berlaku di kawasan Sumatera Selatan dan Riau di Sumatera Tengah. Arah angin dari barat daya telah membawa asap jerebu dari kawasan tersebut merentas sempadan ke pantai barat Semenanjung Malaysia.

Oleh yang demikian, keadaan berjerebu yang dialami terutamanya di sekitar kawasan Lembah Klang, Negeri-negeri di utara Semenanjung, Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan di beberapa daerah di Pahang pada pagi ini adalah disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");