Perak Hari Ini
Like

Kerja pembersihan Hutan Belum-Temengor dihentikan

September 19, 2011
320 Views
0 Comments
2 minutes read
Kerja pembersihan Hutan Belum-Temengor dihentikan

Kerajaan negeri sudah mengarahkan agar kerja pembersihan Hutan Belum-Temengor, dekat Grik dihentikan serta-merta bagi menyiasat laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang mendakwa kira-kira 74 hektar kawasan itu akan diteroka dan dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya perlu membuat siasatan terperinci bagi memastikan laporan akhbar itu benar atau sebaliknya.

“Kerja pembersihan untuk membuat laluan di hutan itu sudah dihentikan dan saya ingin memastikan bahawa kawasan itu dibenarkan atau tidak untuk dibangunkan dengan projek pertanian.

“Ini termasuk juga aspek kawasan topografi itu sensitif atau tidak…semua perkara ini akan dilihat dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Amerika Syarikat dan Duta Jepun di Pejabat Menteri Besar, di Ipoh, hari ini.

Semalam, akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan mengenai penerokaan Hutan Belum-Temengor yang dikhuatiri akan mengancam kehidupan hidupan liar yang semakin pupus seperti gajah dan harimau.

Kawasan seluas 74 hektar akan dibersihkan untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit dan mengikut laporan masyarakat Orang Asli di situ, kerja pembersihan hutan sudah dimulakan sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, Zamrby berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumbalas daripada Jabatan Perhutanan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGOS) yang memperjuangkan isu alam sekitar seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Jelasnya, Perak juga begitu komited dalam memulihara khazah alam semulajadinya termasuklah Hutan Belum yang kini digazetkan sebagai hutan simpan negeri.

Sehubungan itu, kerajaan katanya, tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menceroboh kawasan itu dengan melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Selepas Hutan Belum, ada pula pihak yang meminta agar kerajaan negeri mengazetkan semua kawasan Temengor sebagai hutan simpan tetapi saya berharap agar mereka dapat melihat isu secara objektif kerana ia membabitkan industri perkayuan yang besar di Perak.

“Kita tidak mahu bertelagah dengan NGOS ini dan saya telah mengadakan perbincangan dan sedia mendengar pandangan mereka dalam isu pemuliharaan hutan.

“Di Perak, kita mengamalkan polisi pengurusan hutan mapan yang mana terdapat peraturan yang perlu dipatuhi misalnya penebangan pokok tidak dibenarkan di kawasan melebihi 1,000 meter dan mesti mengikut saiz dan ukuran kayu yang dibenarkan sebelum ditebang,” katanya lagi.

Komen & Pendapat

Leave a Reply