Cabaran Tokoh Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri khoo Kay Kim agar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menemui beliau untuk belajar sejarah tanah air membuktikan Mohamad Sabu cetek pengetahuan sejarah negara dan kurang membaca sebaliknya membuat kenyataan mengikut tafsiran dan nafsu sendiri.
Setiausaha Umno Bahagian Bagan Serai Zulkarnain Ismail berkata, tindakan Mat Sabu selaku Timbalan Presiden Pas, mengherokan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Mat Indera bukannya 25 polis yang terkorban mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dan Tanah Melayu menunjukkan suara sebenar Pas.
Bukti itu diperkuatkan oleh sokongan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membela Mat Sabu dan menganjurkan supaya rakaman fakta sejarah tanah air perlu tulisan semula.
“Tindakan Mat Sabu dan Pas yang memesongkan fakta sejarah sebenarnya bertujuan provokasi, kepentingan peribadi dan politik,” katanya.
Menurut Zulkarnain, Mat Sabu sebenarnya menyambung usaha lampau pemimpin Pas lalu untuk memburukkan pejuang tanah air dan pimpinan Umno bagi mengurangkan rasa terhutang budi kerana dapat membatalkan rancangan Malayan Union oleh British, menewaskan pengganas komunis serta memerdekakan tanah air.
“Sebab itulah Mat Sabu bersikap biadab dengan mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan, sebaliknya mengangkat kezaliman komunis sebagai satu kemuliaan.
“Ini jelas satu penghinaan serta pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air melalui sumbangan besar pemimpin Melayu terdahulu yang menyuntik semangat dan kesedaran politik bagi menentang penjajah Inggeris dan Malayan Union,” tegasnya.
Beliau menggesa ahli dan penyokong Pas insaf kerana parti itu dikatakan sudah jauh terpesong daripada Pas era Ustaz Zulkifli, Burhanuddin Al-Helmi, Asri Muda dan Abu Baqar al-Baqir.
Mereka juga disaran muhasabah dan mendakwa sesiap yang menyokong suara Mat Sabu dan Pas bermakna menyokong komunis.