Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman, berkata semua pemimpin parti baik di peringkat Pusat, Wanita, Puteri dan Pemuda perlu menjaga hubungan dengan baik dan tidak sewenang-wenangnya bertindak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh soal kepimpinan dalam sayap parti masing-masing.
Katanya, ini bukan sahaja perlu dipraktikkan oleh pemimpin UMNO tetapi juga membabitkan semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.
“Saya juga berharap rundingan membabitkan pengagihan kerusi antara UMNO, Gerakan, MCA dan MIC untuk pilihanraya umum datang diadakan secara tertutup tanpa kehadiran wakil media massa.
“Sebarang teguran juga perlu dilaksanakan di peringkat dalaman tanpa perlu dibawa kepada pengetahuan orang luar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Adun Sungai Rapat di Batu Gajah, hari ini.
Lebih 5,000 tetamu tanpa mengira bangsa dan agama menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan buat tahun ketiga berturut-turut yang bermula seawal jam 11.30 pagi dan berakhir jam 5.30 petang.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah yang juga Ketua Wanita UMNO Gopeng, berkata hubungan baik yang terjalin sedia ada di peringkat UMNO Pusat, Wanita, Pemuda dan Puteri perlu diperkukuhkan lagi sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke- 13.
Melihat kepada perkembangan positif sejak kebekalangan ini, beliau katanya, amat yakin BN sudah mendapat kembali sokongan rakyat.
Sementara itu, Hamidah turut melahirkan rasa gembira kerana majlis rumah terbuka itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat jelata, sekaligus membuktikan bahawa perpaduan kaum yang terjalin selama ini masih kekal utuh.
“Saya lihat sambutan rakyat pada tahun ini amat menggalakkan terutamanya tetamu kaum lain yang tidak mahu melepaskan peluang untuk berhari raya selain mengeratkan silaturrahim.
“Ini juga memberi petanda bahawa BN mendapat sokongan padu daripada rakyat di Perak dan ini satu keadaan yang menggembirakan buat saya,” katanya.
Selain itu, penganjuran majlis rumah terbuka kata Hamidah, merupakan budaya Malaysia yang unik kerana menyatukan pelbagai kaum tanpa mengira agama dan bangsa.
Bukan setakat Hari Raya, rakyat Malaysia juga tegasnya, meraikan perayaan kaum lain termasuk Festival Kuih Bulan yang bakal diraikan secara meriah di Ipoh, esok.
“Saya harap suasana aman dan harmoni ini dapat dikekalkan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuklah Exco Kerajaan Tempatan, Hal Pengguna, Kesihatan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon dan pegawai kanan kerajaan. Tetamu yang hadir menikmati juadah enak seperti lemang, nasi impit bersama kuah kacang dan rendang ayam.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran dua artis jemputan, Latif Ibrahim dan Nurul Shukur yang mendendangkan lagu popular masing-masing bagi menghiburkan para tetamu.