Berita Hari Ini

Presiden Somalia kesal kematian wartawan Malaysia

PUTRAJAYA, 3 Sept — Presiden Somalia Sharif Sheikh Ahmed menyampaikan ucapan takziah dan kekesalan beliau atas kematian jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh kerana tembakan peluru sesat di Mogadishu semalam.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, ucapan takziah disampaikan oleh presiden berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pemimpin Somalia itu menghubunginya.

Anifah berkata, kerajaan Somalia juga memberi jaminan untuk menjalankan siasatan dan laporan yang menyeluruh berhubung insiden pahit tersebut.

“Menteri Dalam Negeri Somalia telah menjanjikan kita (kerajaan Malaysia) siasatan serta laporan yang rapi. Presiden Somalia telah menghubungi Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham (Noramfaizul) serta kekesalan beliau di atas kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama Online.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat di bahu kanan yang menusuk paru-parunya semasa pulang ke tempat kediaman selepas membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Beliau adalah antara 55 anggota misi tersebut yang berlepas ke Mogadishu, Somalia, pada 28 Ogos lalu.

Anifah berkata kawalan keselamatan di hotel penginapan misi kemanusiaan juga telah dipertingkatkan.

Katanya, persediaan sedang dilakukan untuk membawa pulang jenazah Allahyarham dan kesemua anggota misi itu dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia dan dijangka tiba di tanah air pada pagi esok.

Anifah berkata pihak keselamatan Somalia juga telah berjanji akan memberikan kawalan ketat bagi perjalanan misi Malaysia dari tempat penginapan ke lapangan terbang.

Dalam pada itu, laporan Berita Harian Online menyebut, Noramfaizul meninggal dunia selepas cedera parah akibat ditembak di bahu, manakala jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di tangan dan dilaporkan stabil.

Katanya, tembakan itu dipercayai disasarkan ke arah trak tentera Kesatuan Afrika tetapi tersasar dan terkena pacuan empat roda yang dinaiki mangsa.

Kejadian pukul 5.15 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan bersama jurukamera TV3 selepas selesai membuat liputan di sebuah kem pelarian di ibu negara bergolak itu.

Mangsa terkena tembakan ketika berada dalam kenderaan terbabit sebaik tiba di depan hotel penginapan mereka.

Menurut laporan itu, mangsa menginap bersama jurukamera dan wartawan televisyen Malaysia di sebuah hotel lain, kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan wartawan media cetak serta sukarelawan misi berkenaan.

Mangsa cuba diselamatkan oleh doktor yang menyertai misi berkenaan, namun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Ia menambah, mangsa dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya di ibu negara sebaik terkena tembakan itu.

Beliau berkata, setakat malam tadi tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");