Berita Hari Ini

Tak perlu takut minta maaf, Ibrahim Ali nasihati Mat Sabu

Datuk Ibrahim Ali menasihati Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu agar meminta maaf dan tidak perlu takut untuk berbuat demikian atas kenyataan berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong di Pulau Pinang bulan lalu, yang menjadi kontroversi buat minggu ketiga sekarang.

Presiden Perkasa ini berkata ucapan Mohamad atau Mat Sabu pada majlis itu amat mengelirukan dan secara tidak langsung pemimpin kanan PAS itu dilihat cuba mengubah fakta sebenar sejarah negara.

“Mat Sabu tidak perlu takut atau malu untuk menarik balik ucapannya tempoh hari atas alasan terlanjur. Ini kerana ‘ular yang menyusur akar, tidak akan hilang biasanya,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung khas tahunan Perkasa Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, amat menyedihkan apabila Mat Sabu membelakangkan perjuangan Datuk Onn serta Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman, yang berjuang membebaskan negara ini daripada British tanpa menumpahkan darah.

Dalam pada itu, Gerakan bersedia menawarkan biasiswa kepada Mohamad untuk mempelajari semula sejarah negara di universiti tempatan kerana beliau dilihat masih kurang arif mengenai sejarah negara.

Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, pemimpin parti pembangkang itu boleh dikatakan buta sejarah selepas melabelkan anggota Parti Komunis Malaya, Mat Indera, sebagai wira sebenar dalam insiden serangan Balai Polis Bukit Kepong.

“Adalah jelas beliau ini buta sejarah, kalau begini, Gerakan bersedia untuk menawarkan biasiswa kepada beliau supaya belajar semula sejarah di universiti tempatan.

“Selain itu, beliau boleh juga belajar sejarah sebenar negara dari pakar-pakar sejarah yang lain seperti Profesor Dr Khoo Khay Kim,” katanya di sini hari ini.

Koh berkata, Mohamad perlu peka dengan perjalanan sejarah negara dan tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu mengikut pemahaman sendiri.

“Beliau mesti peka dengan apa yang berlaku dalam sejarah negara, dan jika masih gagal memahaminya, Mat Sabu bolehlah dibawa duduk di hadapan Tugu Negara untuk menghayati sejarah itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");