Perak Hari Ini

300 penduduk Taman Lapangan SSI bimbang keselamatan terancam

Lebih 300 penduduk Taman Lapangan SSI, dekat Pasir Puteh, menyuarakan bantahan keras terhadap kerja membina jalan raya dan sistem perparitan yang bersambung dengan jalan utama taman itu kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kehidupan penduduk di situ.

Walaupun pemaju mendakwa projek membina 118 unit rumah berdekatan Taman Sri Perkasa itu sudah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), penduduk meragui perkara itu kerana mereka tidak dimaklumkan secara rasmi dan lebih menghairankan tiada sebarang papan tanda dipasang bagi kerja pembangunan di tanah tersebut.

Kebimbangan penduduk itu ada kebenarannya kerana jika kerja itu diteruskan, ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan penduduk tetapi juga boleh mencetuskan masalah kesesakan jalan raya serta banjir kilat yang lebih serius di taman berkenaan.

Wakil penduduk, Mohd Anuar Abdullah, berkata sejak tiga bulan lalu, terdapat usaha daripada pihak pemaju untuk menceroboh kawasan taman itu bagi membina jalan raya serta sistem perparitan yang bersambung dengan jalan utama menghala ke taman permainan kanak-kanak dan surau.

“Kira-kira jam 10.30 pagi tadi, saya terlihat kerja meratakan tanah dan membuat sambungan jalan sedang dilakukan  di kawasan yang bersempadan dengan taman ini lalu saya membantah tindakan itu kerana mereka seolah-olah cuba menceroboh kawasan ini.

“Selepas itu, saya ditunjukkan surat yang diluluskan MBI tetapi ia jelas menyatakan pembinaan jalan masuk dan sistem perparitan itu hendaklah bermula di Taman Sri Perkasa, bukannya merentasi kawasan Taman Lapangan SSI yang mula diduduki penduduk sejak empat tahun lalu.

“Pada jam 12.30 tengah hari, jurutera projek ada datang berjumpa saya dan beliau dengan angkuhnya mengatakan longkang besar dan jalan raya akan dibina melalui kawasan taman ini dan ia akan menjadi laluan utama keluar masuk bagi kegunaan penduduk taman perumahan baru,” katanya kepada Peraktoday.com.

Menurut Mohd Anuar, penduduk mengsyorkan agar kajian projek dibuat semula oleh MBI dengan melaksanakan pengubahsuaian sistem jalan raya dan perparitan tanpa perlu melalui kawasan taman itu yang mempunyai khidmat kawalan keselamatan berpagar.

“Jika projek itu terus dilaksanakan, kami bimbang aliran trafik akan bertambah sekaligus membahayakan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak selain menjejaskan kawalan keselamatan taman yang diwujudkan selama ini.

“Ketika ini, setiap keluarga membayar RM30 sebulan kepada Persatuan Penduduk Taman Lapangan SSI untuk mengupah dua pengawal keselamatan yang bertugas mengawal keselamatan penduduk yang kebanyakannya adalah kakitangan kerajaan dan golongan profesional,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata, sebelum projek itu dibangunkan, penduduk di situ hidup dalam keadaan harmoni dan hampir tiada langsung kes jenayah dilaporkan di kawasan taman berkenaan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, tindakan pemaju itu jelas menunjukkan pihak itu cuba menjimatkan kos projek dengan membuat jalan raya dan sistem perparitan yang bersambung dengan jalan utama Taman Lapangan SSI.

“Pemaju sebenarnya mempunyai pilihan lain untuk membina jalan raya dan sistem perparitan tanpa melalui kawasan taman ini tetapi mereka tetap mahu meneruskan kerja itu walaupun dibantah keras oleh penduduk.

“Penduduk di sini cukup kesal dengan tindakan pemaju yang langsung tidak memikirkan nasib atau masalah yang bakal kami hadapi jika projek ini diteruskan,” katanya lagi.

Sementara itu, berdasarkan salinan surat yang ditunjukkan wakil penduduk bertarikh 19 September yang dikeluarkan oleh MBI menyatakan permohonan cadangan jalan dan pengaliran telah diluluskan dengan mematuhi syarat berikut iaitu jalan masuk dari Taman Sri Perkasa, sila sediakan perangkap air dari permukaan hampaan jalan (cattle trap) dari nod 1-7 dan 2-6.

Surat yang yang ditandatangani Pengarah Kejuteraan MBI itu juga mengingatkan pemaju bahawa MBI berhak menahan atau menolak mana-mana perakuan kesiapan yang dikeluarkan sekiranya pihak pemaju tidak melaksanakan kerja mengikut kelulusan atau apa-apa syarat yang dikenakan terhadap pemaju.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");