Perak Hari Ini

400 Orang Asli kini lega

Kebimbangan kira-kira 400 penduduk Orang Asli Semai yang di tinggal di Kampung Sung Genting, Batu 10, di sini, berhubung keadaan dewan orang ramai yang usang kini lenyap apabila peruntukan baik pulih dewan itu diluluskan.

Tok Batin, Alang a/l Bah Kacang, 45, berkata, dewan orang ramai itu dibina pada 1993 yang digunakan untuk sebarang aktiviti kemasyarakatan oleh penduduk tempatan termasuk mesyuarat dan perjumpaan ahli jawatankuasa kampung.

Menurutnya, dewan yang kini berusia 18 tahun mengalami beberapa kerosakan yang perlu di baik pulih bagi keselesaan penduduk khususnya ketika melakukan aktiviti kemasyarakatan.

“Sebelum ini, ahli jawatankuasanya terpaksa membuat mesyuarat di tempat lain kerana bimbang akan keselamatan mereka ketika berada di dewan orang ramai ini.

“Masalah ini saya ajukan kepada Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan dalam satu program menyerahkan bantuan penduduk di kampung saya, pada bulan lalu dan telah mendapat reaksi positif daripada beliau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Alang berkata, Ahli Parlimen itu meluluskan peruntukan untuk membaik pulih dewan orang ramai dan beberapa lagi baik pulih di kampung berkenaan bagi keselesaan penduduk.

“Baik pulih dewan ini telah siap tidak sampai tempoh sebulan sepertimana dijanjikan oleh beliau.

“Kini, penduduk tidak bimbang akan keselamatan mereka ketika berada di dewan orang ramai ini kerana baik pulih meliputi kerja pendawaian, dinding dan lantai serta cat siap sepenuhnya,” katanya.

Katanya, beliau mewakili penduduk berterima kasih kepada semua pihak yang telah menzahirkan hasrat untuk membaiki kemudahan infrastuktur kampung itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan berkata, pihaknya menerima permohonan untuk membaik pulih dewan orang ramai daripada Tok Batin Alang pada bulan lalu ketika beliau mengadakan program di kawasan itu.

Menurutnya, melihat pada permohonan yang dipohon oleh Tok Batin, pihaknya merasakan ia perlu di baik pulih dengan segera kerana sering digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, permohonan untuk baik pulih pondok bas itu diluluskan dan proses membaiki kemudahan itu akan siap dalam tempoh sebulan.

“Peruntukan kira-kira RM16,000 digunakan untuk membaik pulih dewan orang ramai selain saya turut memberikan dua set kanopi untuk digunakan penduduk sekiranya mereka mengadakan sebarang aktiviti.

“Ini juga membuktikan bahawa apa yang Barisan Nasional (BN) janjikan pasti akan ditunaikan untuk kepentingan rakyat itu sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");