Berita Hari Ini

Bersih 2.0: Siasatan awam Suhakam esok

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunanan kekerasan melampau ketika perhimpunan Bersih 2.0 esok.

Siasatan yang akan berlangsung di pejabat Suhakam di sini, bermula pukul 9 pagi, akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi suruhanjaya Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

“Suruhanjaya telah memutuskan untuk mengadakan siasatan awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011,” kata Suhakam dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Suhakam, terma rujukan untuk siasatan awam ialah menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan semasa perhimpunan dan jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan bagaimana pelanggaran terjadi, apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut; dan individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.

Selain itu siasatan awam juga akan mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di ibu negara pada awal Julai lalu menuntut pembaharuan pilihan raya.

Perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran polis dan pihak penganjur dan juga peserta perhimpunan mendakwa mereka dikasari polis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");