Berita Hari Ini

Bukan bajet pilihan raya umum: Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan Bajet 2012 adalah bajet pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin menegaskan, dakwaan seperti itu tidak berasas sama sekali.

“Saya tidak berasa (Bajet 2012) untuk (pilihan raya) yang dijadikan pertimbangan utama kerana situasi hari ini memerlukan kerajaan prihatin tentang keperluan rakyat.

“Kalau ada pihak kata ini belanjawan pilihan raya, itu terserah kepada mereka. Bila pilihan raya nak diadakan?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Katanya, Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat menikmati faedah untuk meningkatkan taraf hidup selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

“Tujuan utama Bajet 2012 adalah dengan memberi pelbagai kemudahan dan tawaran kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pembangkang bahawa kerajaan menjadikan Bajet 2012 sebagai ‘gula-gula’ politik untuk memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Mengulas ’bajet bayangan’ yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat, Muhyiddin berkata, mereka tiada pertimbangan yang tepat daripada asas belanjawan.

“Mereka boleh bercakap apa sahaja kerana tidak terlibat dalam kerajaan. Mereka boleh berjanji janji bulan dan matahari kerana tiada perasaan dan tanggungjawab untuk melaksanakannya.:

“Kita yang merangka belanjawan ada satu tanggungjawab kerana apa yang diperkatakan di parlimen hari ini sudah tidak boleh tarik balik dan perlu dilaksanakan,” katanya.

Selain itu katanya, Bajet 2012 adalah belanjawan yang seimbang yang mencakupi semua bidang secara menyeluruh di setiap peringkat dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan defisit negara.

“Ini adalah belanjawan terbaik yang mungkin belum pernah dibentangkan sebelum ini,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");