Berita Hari Ini

Duti Anti-Lambakan akan dikenakan sekiranya berlaku lambakan barangan import

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sekiranya terdapat barangan yang diimport memudaratkan industri tempatan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sehingga kini hanya satu siasatan anti-lambakan dijalankan iaitu terhadap barangan China membabitkan produk basikal.

“Hasil siasatan itu, duti anti-lambakan sebanyak 11.38 peratus hingga 186.09 peratus dikenakan terhadap produk basikal yang diimport dari China.

“Duti anti-lambakan yang dikenakan selama lima tahun bermula 18 Januari 2003 hingga 17 Januari 2008,” katanya ketika menjawab soalan Muhammad Husain (PAS-Pasir Puteh).

Muhammad ingin tahu langkah kerajaan dalam menangani kesan lambakan barangan China terhadap ekonomi Malaysia.

Mustapa berkata, untuk menangani aktiviti lambakan kerajaan mengambil tindakan mengikut peraturan di bawah Pertubuhan Dagangan Sedunia (WTO) dan Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 dan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

Selain itu katanya, kerajaan sentiasa memastikan setiap produk yang diimport mematuhi standard, kesihatan, keselamatan, sanitari dan fitosanitari (SPS) yang ditetapkan sebelum dijual kepada pengguna.

Beliau berkata, produk yang tidak mematuhi elemen itu tidak akan dibenar masuk ke Malaysia.

Mustapa berkata, kerajaan juga sentiasa memantau impak pelaksanaan kawasan perdagangan bebas (FTA) dan akan mengambil langkah bersesuaian untuk memastikan industri tempatan dapat bersaing dengan China.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");