Perak Hari Ini

Enam bulan tinggal bergelap

Kisah seorang pesakit kanser, Roslela Abd Hamid, 47 dan pengorbanan kakaknya, Rosnah Abd Hamid, 62, dari Kampung Maran, dekat Kati pernah mendapat perhatian banyak pihak serta liputan meluas media.

Dua beradik yang pernah mendapat bantuan menarik taraf kediaman daripada pihak berkenaan menyuarakan kekesalan apabila terdapat pertolongan yang diberikan tidak diperoleh seperti dijanjikan.

Rosnah berkata, dia bersyukur apabila menerima bantuan untuk kerja menaik taraf rumah tetapi terkilan kerana pertolongan itu membuatkan dia dan adiknya terpaksa bergelap selama enam bulan akibat terputus bekalan elektrik.

Menurutnya, difahamkan sebanyak RM15,000 diperuntukkan untuk kerja baik pulih rumahnya tetapi kerja dilakukan bagai melepas batuk di tangga.

“Pada asalnya rumah kami di bahagian atas dan diruntuhkan supaya lantai berada di bawah serta mudah saya menjaga adik yang sakit.

“Tetapi saya terkilan kerana selepas kerja pendawaian elektrik dilakukan pihak kontraktor, segala lampu atau peralatan elektrik tidak boleh digunakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Rosnah, akibat masalah itu, dia terpaksa menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengadukan perkara berkenaan.

Jelasnya, TNB memaklumkan sistem pendawaian dilakukan secara tidak selamat, tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana dilakukan oleh kontraktor.

“Kerana masalah ini, kami berdua terpaksa bergelap dan bernasib baik kerana salah satu soket berada di bahagian dapur yang tidak berkait dengan kerja pendawaian semula itu dapat digunakan,” katanya.

Rosnah berkata, selain itu, selama sebulan rumah mereka tidak mempunyai tingkap dan membuatkan dua beradik itu sangat takut dengan keadaan demikian.

Katanya, dia memaklumkan perkara itu kepada ketua kampung dan beliau meminta pihak kontraktor datang memasang tingkap.

“Bukan saya tidak berterima kasih tetapi terkilan kerana timbul banyak masalah, termasuk dinding rumah yang rosak dan dipasang menggunakan kayu lama,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Taiping Cancer Support Group Taiping dari Makna, Azlina Abdullah, berkata, pada Ramadan lalu, beliau secara kebetulan melawat rumah berkenaan kerana Roslela merupakan salah seorang pesakit mereka.

“Saya melihat keadaan rumah dua beradik ini sangat teruk dan bersimpati dengan masalah dua beradik ini, saya memaklumkan kepada Kerajaan Negeri dan selepas itu barulah dihantar orang untuk memasang semula pendawaian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");