Berita Hari Ini
Like

Gandingan Parti Komponen Dalam BN Menjadi Teras Dan Asas Penting – TPM

October 30, 2011
66 Views
0 Comments
3 minutes read
Gandingan Parti Komponen Dalam BN Menjadi Teras Dan Asas Penting – TPM

SANDAKAN, 30 Okt (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gandingan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) menjadi teras dan asas penting untuk mempertahankan kedudukan sebagai satu-satunya parti politik yang dapat mentadbir negara dengan baik dan cemerlang.

Sehubungan itu, beliau mahu apa yang selama ini menjadi prinsip dan asas perjuangan BN untuk sama-sama mendukung perjuangan dalam BN perlu diteruskan dan diperkukuhkan.

Oleh sebab itu, semangat saling bantu-membantu, tolong-menolong, memahami tugas dan tanggungjawab setiap parti dalam BN adalah amat penting, katanya.

“Lebih penting sekarang ini ialah kerana kita akan berhadapan dengan cabaran yang hebat iaitu pilihan raya umum yang ke-13 yang kita akan hadapi mungkin dalam satu tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) ke-22 di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata soal perpaduan di antara parti dalam BN adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian dan dilakukan sepanjang masa dengan mengambil kira ia akan menambah atau menokok sokongan rakyat kepada kerajaan.

Katanya peranan parti seperti LDP dalam BN, akan menjadi lebih mencabar untuk membolehkan BN bukan sahaja dapat memikul tanggungjawab yang selama ini telah dilaksanakan tetapi bagi menghadapi cabaran lebih besar lagi pada masa akan datang.

“Cabaran terkini yang kita hadapi agak luar biasa kerana pilihan raya umum yang akan kita hadapi dalam tempoh mendatang ini mungkin antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara kita, zaman berzaman dan ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh abaikan,” katanya.

Muhyiddin berkata dalam membicarakan sesuatu perkara dalam proses mencapai matlamat kerajaan membangunkan negara dan mengubah kehidupan rakyat ke tahap lebih baik, parti komponen BN yang ingin membuat teguran perlu mengambil kira peranan mereka sebagai parti komponen.

“Walaupun dalam komponen BN kita menyedari ada masalah dan isu kita sendiri tetapi kita anak beranak dan dalam satu keluarga, kita boleh tegur menegur tetapi tegur menegur yang agak bersopan dan santun.

“Supaya ia tidak akan membangkitkan satu perasaan yang tidak senang hati di antara sesama kita kerana cabaran yang kita akan hadapi amat hebat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua parti dalam komponen BN yang membangkitkan mengenai pembahagian kerusi bagi parti komponen dalam pilihan raya akan datang yang menurutnya akan berpegang kepada kuota yang ditetapkan.

“Calon yang diletakkan itu adalah calon yang boleh menang dan ia perlu diteliti serta dikaji penerimaannya oleh pihak masyarakat.

“Bukan presiden parti membuat keputusan, bukan pengerusi BN menentukan tetapi yang penting sama ada pengundi bersedia menerima calon itu diletakkan di situ dan memperolehi kemenangan yang kita kehendaki,” tegas Muhyiddin.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply