Kolumnis

Hudud: Saya Sokong Kenyataan Tan Sri Harussani

Baru-baru ini Mufti Besar Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan media telah bersetuju dan menyokong perlaksanaan hudud yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat. Tan Sri Harussani meminta agar Kelantan diberikan peluang oleh Kerajaan Pusat untuk melaksanakan hukum berkenaan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dan kemudiannya melihat hasil “ujikaji” berkenaan.

Bagaimanapun, Tan Sri Harussani menggariskan kepada Mursyidul Am Pas itu agar menyemak kembali draf hudud yang dikemukakan supaya ia menepati dengan konsep keadilan yang dianjurkan Islam yang sebenar.

Sebenarnya, kenyataan Mufti Besar Perak ini telah mencetus kontroversi dan kurang disenangi oleh segelintir pihak yang kurang faham tentang makna sebenar tentang perlaksanaan hudud dan keadilan sebenar yang ada pada hukum Allah tersebut. Ramai yang memberi komen negatif dan menolak mentah-mentah perlaksanaan hukum hudud itu. Benarkah hukum hudud tidak adil dan tidak sesuai untuk diimplementasikan di negara Islam seperti di Malaysia?

Sebenarnya, ramai yang salah faham tentang hudud. Di Malaysia, ada dua hudud, satunya ialah hudud Islam sebenar yang masih gagal di draf oleh mana-mana pihak dan keduanya ialah hudud ciptaan PAS yang mempunyai empat versi.

Hudud Islam sebenar tidak pernah berjaya didrafkan oleh mana-mana negara Islam di dunia ini sama ada di Egypt, Arab Saudi, Iran, Iraq atau mana-mana sekali pun. Mungkin benar ada hudud di sana, namun versinya masing-masing berbeza mengikut negara. Apakah hudud Allah itu berbeza mengikut negara dan mempunyai pelbagai versi? Hukum Allah punya banyak versi? Biar betul?

Di Malaysia pula, PAS cuba menjadi juara hudud. Kononnya mereka bijaksana dan tahu membuat draf hudud. Padahal, meskipun sudah empat kali membuat draf berkenaan, PAS masih lagi gagal membawa keadilan di dalam draf akta tersebut untuk diperkenalkan di dalam perundangan mahkamah syariah. Sejak gagal, PAS tidak lagi cuba memperbaiki kelemahan yang ada pada draf tersebut. Usaha untuk membuat draf itu kembali sudah mati. Ini membuktikan bahawa PAS tidak serius dalam memperjuangkan hudud. Kalau ada pun disebut tentang hudud, ianya di sebut diceramah ketika berkempen pilihanraya saja.

Selepas PAS bergabung bersama DAP, hukum hudud terus lenyap. DAP mencantas terus hukum hudud melalui proksinya yang hanya menurut perintah iaitu PKR. Hudud PAS berkubur begitu saja sebagaimana berkuburnya perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam atau Daulah Islamiyyah.

Kembali kepada kenyataan Mufti Besar Perak, saya sebenarnya menyokong apa yang dicadangkan Tan Sri Harussani kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu. Bukan apa, kita patut sedar bahawa bukan senang untuk melaksanakan hukum tersebut secara praktikal. Ianya cukup sukar untuk diimplimentasikan. Ia rumit dan memerlukan banyak syarat-syarat khusus yang berkemungkinan besar akan membuat PAS tersilap perhitungan di dalam perlaksanaannya. Dalam kata mudah, mungkin PAS akan gagal kerana parti itu tidak cukup bersedia…

Kita sebelum ini takut mendengar betapa dahsyatnya hukuman di dalam perlaksanaan hudud. Misalnya mencuri akan dihukum potong tangan. Tahukah kita bahawa adalah sangat sukar untuk melaksanakan hukum potong tangan tersebut? Ia akan dikira berapa jumlah atau nilai yang dicuri pencuri tersebut. Benarkah dia mencuri dan pembuktiannya mestilah “beyond reasonable doubt” atau dalam bahasa mudah, tiada keraguan munasabah. Banyak lagi syarat untuk mensabitkan hukum dijatuhkan kepada pencuri tersebut. Susahkan?

Seperkara lagi, sekiranya seseorang individu itu dipotong tangannya kerana mencuri, sanggupkah dia mencuri lagi selepas itu? Sanggupkah dia kehilangan satu lagi tangannya? Dan sekiranya dia dihukum dikhalayak ramai atau orang ramai tahu tentang punca dia dipotong tangan, sanggupkah orang lain mencuri lagi? Saya fikir, sudah tentu penjenayah takut untuk mencuri dan berfikir sejuta kali sebelum meneruskan niat jahat mereka itu. Itu kesan hudud. Zalim, kah hukum Allah itu? Pada saya tidak!

Namun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk mendraf hudud berkenaan supaya disepakati oleh semua ulama muktabar di seluruh dunia. Jumhur ulama perlu duduk semeja berijtihad dan menghasilkan sebuah draf yang “jamiq dan maaniq”, sempurna dan syumul dalam semua aspek. Sebenarnya, usaha tersebut boleh dilakukan melalui OIC. Cuma, ia perlu dilakukan dengan komitmen yang tinggi dan gigih oleh semua pihak, termasuk Malaysia.

Buat masa ini di Malaysia, sekiranya Kerajaan Pusat membenarkan Nik Aziz melaksanakan hudud di negara itu, maka ia seolah-oleh menggali liang lahad kepada Pakatan Haram, khususnya PAS sendiri. Mungkin kerana itu, Tan Sri Harussani bersuara dan bersetuju untuk menyokong hudud PAS dilaksanakan di Kelantan. Mungkin Mufti Perak itu nak tengok sejauh mana ketinggian ilmu dan sehebat mana kebijaksanaan PAS menganjurkan keadilan di dalam Islam. Pada saya, Mufti Perak ini bijak “menikam” PAS.

Pada saya, Tan Sri Harussani sedar bahawa dengan meluluskan permohonan Nik Aziz itu, maka Pakatan Haram akan berpecah belah. Beliau sedar tentang DAP yang menolak secara total sebarang muamalah yang berlandaskan Islam di negara ini, khususnya hudud. Beliau tentu ingat mengenai kehancuran Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang hancur kerana hudud dulu, bukan? Ada hikmah di sebalik “sokongan” Mufti Besar Perak ini…

Justeru itu, saya turut “menyokong” penuh kenyataan Tan Sri Harussani tersebut. Tidak salah untuk melaksanakan hudud yang memang sudah terlaksana di negara ini di dalam kanun syariah negara. Qazaf dan taqzir sudah lama dilaksanakan, cuma qisas saja yang belum dilaksanakan sepenuhnya. Dan saya nak tengok pula qisas yang di”cipta” oleh Nik Aziz di Kelantan. Nak juga tengok apakah dia berkonsepkan adil menurut Islam atau hanya bakal menzahirkan hukum PAS yang tidak adil dan mencemarkan hudud Allah itu.

Bagaimana Datuk Seri Najib? Berani buat kejutan sekali lagi? Biarlah Nik Aziz tunjukkan kebebalannya di Kelantan. Kalau dah hancur nanti, kita “belasah” mereka ramai-ramai sampai TKO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");