Perak Hari Ini
Like

Ketua Pemuda PAS Perak Wajar Kelebek Punggungnya Dulu

October 17, 2011
75 Views
0 Comments
4 minutes read
Ketua Pemuda PAS Perak Wajar Kelebek Punggungnya Dulu

Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan buat tembakan rambang kononnya parti-parti komponen Barisan Nasional tidak sebulu antara satu sama lain. Paling menarik apabila dikatakannya konon, Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir tidak mendapat sokongan penuh daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO, selain persengketaan antara Zambry serta Exco Kanan, Hamidah Othman.

Zawawi Hassan sebenarnya hidup dalam kepompong dan fantasi yang keterlaluan. Melihat carik kain UMNO-BN di Perak sebagai sesuatu yang mengaibkan, sebenarnya melekakan Zawawi Hassan yang masih berangan-angan Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa di Perak seperti pada zaman Nizar Jamaluddin. Dengan bermodalkan Buku Jingga dan Bajet Alternatif 2012 yang kalau dilaksanakan boleh meruntuhkan ekonomi, bukan sahaja negara, bahkan lebih teruk lagi golongan Bumiputera, anak lelaki Hassan itu terus cuba mengkhayalkan para pengundi di Perak.

Apa yang berlaku di Perak sekarang, sebenarnya amat menyakitkan mata dan telinga para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya yang bercita-cita besar untuk menjadi wakil rakyat. Kepimpinan Zambry Abdul Kadir secara umumnya diterima baik oleh rakyat Perak walaupun di sana sini terdapat compang-campingnya. Compang-camping itu adalah suatu kelaziman memandangkan tidak ada satu pentadbiran di dunia ini yang sempurna, melainkan pentadbiran Allah Taala. Namun kalau dibandingkan pentadbiran Zambry dengan pentadbiran Nizar Jamaluddin yang dijalankan secara main belakang oleh Nga-Ngeh, jauh lebih baik Zambry berbanding Nizar Jamaluddin.

Setidak-tidaknya, Zambry tidak menghalalkan 999 tahun tanah untuk kumpulan yang suatu ketika dahulu menjadi penyokong dan penyumber utama Parti Komunis Malaya!

PAS di Perak ibarat patung cendana. Mereka kuat menyalak, itu tidak boleh dinafikan sama sekali. Namun salakan mereka hanyalah untuk Ngeh-Nga, tidak lebih dan tidak kurang. Tujuan utama mereka menyalak adalah untuk memastikan DAP kembali sebagai tuan besar di Perak. Manakala PAS pula hanya akan kekal sebagai balaci yang boleh disuruh-suruh dan dibentak-bentak walaupun memiliki kerusi yang boleh digunakan sebagai tawar-menawar dengan DAP.

Zawawi Hassan seharusnya malu dengan prestasi yang ditunjukkan oleh PAS Perak. Seringkali PAS menjadikan Gunung Semanggol sebagai inspirasi mereka, bahkan tanpa segan silu menyatakan bahawa PAS berasal daripada gerakan Hizbul Muslimin era penjajahan sebelum PAS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1951. Padahal, sewaktu ditubuhkan, tidak ada wakil Hizbul Muslimin di dalam PAS atau PMIP sebaliknya yang jadi pemimpin utama adalah golongan kecewa UMNO yang diketuai oleh Ahmad Fuad Hassan.

Menjadikan Zambry Abdul Kadir dan barisan Exconya sebagai buah peluru buat Zawawi Hassan, sebenarnya merupakan langkah yang paling tidak bijaksana. Zawawi seharusnya mencari isu lain yang lebih menarik dan dapat membuktikan yang PAS memang parti terbaik di Perak memandangkan imej PAS Perak sangat terjejas berikutan KEPANDIRAN Nizar Jamaluddin yang menyudikan dirinya untuk jadi balaci penjilat tapak kasut Ngeh-Nga.

PAS Perak sendiri sebenarnya berada dalam masalah yang paling besar. Perebutan kerusi untuk ditandingi oleh PAS dengan PKR serta DAP bukan sahaja satu masalah ‘kecil’ yang boleh diselesaikan, bahkan memperlihatkan perangai sebenar PAS yang akan kecundang dengan apa-apa sahaja desakan DAP dan PKR.

PKR sudah berkeras, tidak akan menyerahkan kerusi-kerusi yang mereka tandingi pada 2008. Keinginan PAS untuk bertanding di Bagan Serai misalnya, bakal dikecewakan oleh PKR yang mahu kekal sebagai penguasa kedua terbesar di Perak. PAS yang secara tradisinya bertanding di beberapa kawasan yang lain, tetapi telah menyerahkan kerusi-kerusi berkenaan kepada PKR, dilihat tergapai-gapai dalam usaha memujuk sekutu mereka.

Apa yang dilakukan oleh Zawawi Hassan sebenarnya tidak lebih daripada melepaskan beban yang tersangkut di dadanya. Menjadikan Zambry Abdul Kadir dan seterusnya barisan Exco Perak sebagai sasaran mungkin disangkakannya sebagai cubaan yang paling baik.

Malangnya Zawawi Hassan terlupa bahawa masalah sebenar PAS Perak bukanlah Zambry Abdul Kadir dan Exco Perak, sebaliknya penjajahan DAP dan PKR di dalam PAS Perak yang masih lagi menerima nasihat daripada Ahmad Awang, bekas Yang Dipertua PAS Perak!

Komen & Pendapat

Leave a Reply