Berita Hari Ini
Like

Mahathir gesa Malaysia, negara Islam ‘pandang ke timur’

October 30, 2011
315 Views
0 Comments
2 minutes read
Mahathir gesa Malaysia, negara Islam ‘pandang ke timur’

LANGKAWI, 30 Okt — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain seharusnya memandang ke arah negara-negara Timur yang lain dan bukannya Barat sebagai model untuk pembangunan mereka.

Beliau berkata yang beliau percaya telah membuat keputusan yang betul dalam memperkenalkan dasar Pandang Ke Timur iaitu mencontohi etika kerja dan teknik-teknik perniagaan dari Jepun dan Korea Selatan dalam tempoh beliau sebagai perdana menteri.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata kini terdapat banyak sangat masalah dengan negara-negara Barat. “Masalah di barat ialah mereka telah meminjam terlalu banyak dan tidak boleh membayar semula. Kita tidak boleh ada negara macam itu untuk dijadikan model.

“Jika kita lihat negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan China di timur . . . China ada rizab bernilai AS$3.2 trilion (RM9.8 trillion). Mereka berenang dalam lautan duit. Korea boleh hasilkan produk utama yang lebih baik daripada yang dihasilkan oleh negara-negara di barat,” katanya lagi.

Justeru kata Dr Mahathir (gambar), “Jepun, yang kita tahu, ialah negara yang kalah dalam peperangan… musnah sepenuhnya tetapi kembali membina semula negaranya sendiri, dan menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia.”

Oleh itu kata beliau, jika mahu meniru atau belajar sesuatu, belajar dari kejayaan orang lain, bukan daripada kegagalan.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam Langkawi yang ketiga (LIFE 3) di sini. Persidangan tiga hari itu, bermula semalam.

Dipetik Bernama Online, Dr Mahathir berkata seseorang itu tidak boleh banyak belajar dari barat kerana ia satu kegagalan yang total.

“Jadi, kita perlu terus memandang ke timur dan bukan ke barat. Barat kini menuju ke arah muflis,” kata beliau.

Dr Mahathir juga berkata, secara peribadi, beliau menentang sosialisme kerana ia akan menjadikan semua orang miskin.

“Untuk kapitalisme, ia adalah cara untuk memakmurkan negara. Jika kita lihat sekitar kita, negara-negara kapitalisme tampak amat kaya, malah, pekerja mereka boleh memandu kereta besar. Tetapi, sudah pasti kita akan menjadi tamak… mahukan lebih banyak wang tanpa memikirkan akibatnya.

“Mereka meminjam dan terus meminjam sehingga mereka tidak mampu bayar dan muflis. Sifat tamak akan menyebabkan ini semua. Hari ini, kita melihat kegagalan negara di dunia maju,” kata Dr Mahathir.

Komen & Pendapat

Leave a Reply