Berita Hari Ini

Mahkamah benarkan bicara kes ADUN Sri Muda ditangguhkan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei (gambar) untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di atas pertuduhan menghasut sehingga selesai proses rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Noor Azian Shaari membenarkan permohonan Shuhaimi, yang diwakili peguam Edmund Bon, sementara responden diwakili Timbalan Pendakwaraya, Hanafiah Zakaria dan Mohd Farizul Hassan, tidak membantah.

Shuhaimi, yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 8 September lalu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan Shuhaimi pada 26 Ogos sebelum itu untuk mengenepikan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen.

Pada 26 Ogos itu Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shuhaimi untuk mendapatkan perintah mahkamah mengisytiharkan bahawa Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana tidak selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin rakyat Malaysia hak kebebasan bersuara.

Sebelum itu pada 7 Februari lalu, Shuhaimi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk “Pandangan Saya Berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959” yang dikatakan mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini pada 30 Disember tahun lalu.

Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)akta yang sama dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan melalui blognya itu yang dikatakan mempertikai keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");